• Wartawan Nabalu News

Kekalkan status quo kebebasan beragama di Labuan - Ewon


22 Sept 2021

By Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menggesa Kerajaan agar mengekalkan status quo kebebasan beragama di Labuan sesuai dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963.


Beliau menyatakan demikian hari ini susulan kenyataan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri beberapa minggu lepas berkenaan dengan cadangan Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam.


"Perkara ini berkaitan dengan Perjanjian Malaysia. Saya menghargai respon tegas Ketua Menteri mengenai perkara ini jika diteruskan di Sabah. Tetapi kita perlukan kepimpinan yang lebih kuat lagi.


"Walaupun ada penjelasan susulan yang dibuat berhubung cadangan tersebut, tetapi kita perlu pertahankan status quo bagi Labuan supaya cadangan tersebut tidak dilaksanakan di situ. Ini kerana Labuan masih menjadi sebahagian daripada wilayah Sabah semasa Perjanjian Malaysia ditandatangani pada tahun 1963.


"Ramai penduduk tanah besar Sabah yang bermastautin dan bekerja di Labuan pasti terkesan jika akta ini diteruskan di wilayah-wilayah persekutuan," katanya.


Menurut Ewon, kebebasan beragama merupakan satu daripada tiga tuntutan utama rakyat Sabah semasa perundingan penubuhan Malaysia.


"Tuntutan ini diperjuangkan oleh mendiang G. S. Sundang dan bapa-bapa pengasas Malaysia yang lain daripada Sabah sehinggakan ia dipahat di Batu Sumpah Peringatan Malaysia.


"Justeru, kalau kita mahu menuntut pelaksanaan Perjanjian ini, maka kita kena pertahankan semangatnya juga. Labuan masih menjadi sebahagian daripada Sabah ketika itu dan kita perlu pertahankan status quo kebebasan beragama ini," katanya.


Ewon menyatakan demikian di Dewan Undangan Negeri Sabah yang berlangsung hari ini.