top of page

Kelab Kebajikan Kadamaian jayakan Kursus Asas Fertigasi Tanaman Cili

Wartawan Nabalu News

2 Nov 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Kelab Kebajikan Kadamaian berjaya menganjurkan Kursus Asas Fertigasi Tanaman Cili Bara siri 2 sebagai usaha membantu golongan belia dan wanita B40 mewujudkan peluang penjanaan pendapatan melalui pertanian moden.


Kursus anjuran APPGM-SDG (All-Party Parliamentary Group Malaysia on Sustainable Development Goals) ini berjaya memberikan pendedahan kaedah pertanian moden kepada 30 peserta dari enam buah kampung.


Kejayaan peserta ‘pilot project’ Kursus Asas Fertigasi Cili Bara Siri 1 di Kampung Sayap pada 2022 amat memberangsangkan telah membawa kepada lanjutan kursus tahun ini yang mensasarkan 10 peserta Kebun Komuniti di Kampung Tinata, Kota Belud

Pengarah kursus, Hadlee Panchai berkata, kursus ini diharap dapat membantu peserta menimba kemahiran serta membuka lebih banyak peluang berkaitan potensi pertanian moden disamping membantu meningkatkan pendapatan.


Hadlee turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada APPGM-SDG kerana menaja kursus dan Projek Kebun Komuniti yang sedang dijalankan di kampung Tinata.


Sokongan berterusan daripada Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian dan UPPM N11 Kadamaian yang diterajui oleh Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Adun Kadamaian membuahkan hasil kejayaan penganjuran kursus ini.

Kursus itu dirasmikan oleh PPM N11 Kadamaian Saikom Watis.


Dalam ucapannya, beliau menghargai usaha Kelab Kebajikan Kadamaian membantu komuniti Kadamaian melalui penganjuran kursus ini.


Beliau juga berharap agar para peserta dapat menggunakan sebaiknya pengetahuan yang ditimba sepanjang kursus untuk memajukan diri, keluarga dan kampung masing-masing.


Dalam pada itu, salah seorang peserta yang hanya dikenali sebagai Moston berkata, penganjuran kursus itu sangat berguna kepada belia.

Menurut beliau penganjuran kursus itu juga memberi banyak peluang kepada golongan belia menyertai dan berkecimpung dalam pertanian moden.


Seorang lagi peserta kursus Pauneh Turus mahu kursus ini diteruskan bagi memberi peluang kepada lebih ramai golongan belia menyertainya.


Seramai 10 peserta kursus dari Kg.Tinata yang ditaja oleh APPGM-SDG akan terlibat dalam Projek Kebun Komuniti dan mengusahakan tanaman fertigasi terbuka sebanyak 3000 polibeg di kampung itu.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page