• Wartawan Nabalu News

TERIMA KASIH KEPADA HAJIJI, MASIDI BENARKAN WARTAWAN KERJA SEPENUH MASA SEMASA PKP: SJA


Datuk Muguntan

1 Jun 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Datuk Muguntan Vanar merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Datuk Masidi Manjun kerana bertindak segera atas rayuan wartawan di Sabah untuk bekerja sepenuh masa semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Beliau berkata, kelonggaran yang diberikan itu satu langkah tepat dan wajar untuk pengamal media yang bekerja tidak tentu masa.


“Ini langkah yang tepat untuk para pengamal media kerana mereka bekerja tidak tentu masa dan bukan bekerja dari jam 7 pagi hingga 7 malam seperti yang dinyatakan dalam SOP sebelum ini,” katanya.


Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Kerajaan Negeri hari ini yang memberi kelulusan sepenuhnya kepada semua agensi media massa di Sabah untuk beroperasi dari semasa ke semasa mengikut keperluan masing-masing. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, ini kerana peranan media massa penting dalam membantu kerajaan menyampai serta menyebarluaskan maklumat sahih dan terkini kepada rakyat jelata. “Kelulusan ini diberikan dengan mewajibkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Mengenai sektor perniagaan Masidi berkata, tiada sebarang perubahan ke atas mana-mana SOP yang telah diumumkan kelmarin (31 Mei) buat masa ini.