top of page
nabalunews

Kemalangan, 2 pejalan kaki maut

30 September 2024


TUARAN: Dua pejalan kaki maut dirempuh sebuah kenderaan ketika sedang melintas jalan berhampiran Simpang Kampung Rugading, Jalan Kota Kinabalu-Tuaran dalam kejadian awal pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Awang Maidin berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran telah menerima maklumat berkenaan kejadian itu kira-kira jam 5.50 pagi tadi.


Katanya kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi dan dua orang pejalan kaki.


Akibat kemalangan itu, kedua-dua pejalan kaki itu telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.


Noraidin berkata pemandu yang terlibat telah tampil di Balai Polis Trafik IPD Tuaran bagi membantu siasatan.


Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan setakat ini beberapa orang individu telah dirakamkan percakapan bagi membantu siasatan.


Pemandu kenderaan MyVi tersebut juga telah ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan.


Noraidin meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini agar memaklumkan kepada pihak polis dengan menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Trafik IPD Tuaran, Insp Haffiz di talian 011-61600964 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.


Orang awam juga diminta agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau maklumat palsu agar tidak mengganggu siasatan.

Comments


bottom of page