Kementerian Pengangkutan kaji tempoh pembaharuan lesen memandu sehingga 10 tahun
23 Februari 2023
Oleh Farah Salim
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan Malaysia sedang mengkaji untuk memanjangkan tempoh pembaharuan lesen memandu sehingga 10 tahun berbanding lima tahun, menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau berkata pegawai Kementerian Pengangkutan telah diminta untuk mengkaji kelayakan cadangan tersebut.
"Mungkin kita boleh menawarkan diskaun kepada mereka yang memperbaharui lesen selama 10 tahun untuk menggalakkan rakyat Malaysia memperbaharui lesen mereka untuk tempoh yang lebih lama.
"Ia merupakan pilihan yang mungkin dilaksanakan pada masa hadapan," kata Loke ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Pengangkutan (MOT) di Dewan Rakyat pada hari Rabu (22 Februari).
Loke turut berkata Kementerian beliau juga sedang melakukan kajian ke atas struktur penetapan cukai jalan raya semasa untuk mengurangkan kosnya.
"Kita perlu memahami bahawa cukai jalan raya adalah sumber pendapatan besar bagi kerajaan, hampir RM3 bilion.
"Namun, setakat ini belum ada keputusan yang dibuat dalam perkara ini tetapi saya akan mengambil kira cadangan tersebut," tambah Loke.
Buat masa ini, lesen memandu di Malaysia boleh diperbaharui setiap tahun atau maksimum lima tahun.
Loke turut berkata mereka sedang mengkaji struktur cukai jalan raya untuk kenderaan elektrik (EV) untuk menggalakkan pemilikan EV.
Katanya, beliau sedar bahawa cukai jalan raya bagi beberapa EV lebih mahal daripada kenderaan biasa.
“Struktur cukai jalan bagi kenderaan EV ini mestilah selari dengan dasar kerajaan dalam mempromosikan penggunaan kenderaan EV di negara ini.
"Jadi nak promosikan EV ini, kita kena pelbagaikan insentif, insentif itu kena ada dan yang penting cukai jalan yang dikenakan nanti, mestilah pada kadar yang kompetitif, tambah Loke.
Kommentare