• Wartawan Nabalu News

KEMERIAHAN SAMBUTAN RAYA AIDILFITRI TETAP DIRASAI DENGAN PEMATUHAN SOP KETAT



13 Mei 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini mungkin tidak semeriah sambutan sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia. Namun bagi rakyat Sabah yang meraikannya, kemeriahan dan semangat raya bersama ahli keluarga tetap dirasai, walaupun majlis rumah terbuka tidak dibenarkan.


Sambutan Raya Aidilfitri tahun ini sama seperti tahun lalu, ia diraikan secara sederhana bersama ahli keluarga susulan keadaan pandemik Covid-19 yang masih kritikal di negara ini.



Namun, pastinya kemeriahan sambutannya akan sentiasa tersemat di hati seluruh umat Islam di mana sahaja mereka berada.


Secara tradisi, masyarakat Islam akan meraikan Aidilfitri dengan pulang ke kampung halaman mereka dan mengunjungi rumah sanak saudara namun mereka reda dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk larangan rentas daerah yang dikuatkuasakan tahun ini.


Antara SOP Hari Raya Aidilfitri bagi negeri Sabah tahun ini ialah tidak dibenarkan mengadakan sebarang majlis Hari Raya dan Rumah Terbuka.


Bagaimanapun Ziarah Hari Raya masih dibenarkan dengan syarat hanya pada Hari Raya pertama hingga ketiga dalam kalangan ahli keluarga terdekat serta tidak melebihi 10 orang dan tinggal dalam lingkungan daerah yang sama.


Sesi ziarah Hari Raya juga dihadkan dari jam 9 pagi hingga 9 malam (dua jam untuk setiap 10 orang) dan tuan rumah diwajibkan menyediakan QR MySejahtera serta mematuhi protokal kesihatan umum yang ditetapkan.


Mereka yang ditemui Nabalu News menyatakan, sambutan Raya Aidilfitri tahun ini tetap meriah walau hanya beraya bersama ahli keluarga.


Bekas Wartawan New Sabah Times Noor Eviana Datu Mazinal berkata, walaupun raya tahun ini dalam perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) namun mereka sekeluarga dapat menyambut Raya dalam suasana meriah.


Evianna bersama ibu bapa dan adik beradiknya.



“Sambutan raya tahun ini meriah juga, sebab kami adik beradik kebetulan semua ada di rumah (kampung).

Eviana bersama suami

“Cuma tidak dapat ziarah kubur arwah datuk sebelah bapa dan tidak dapat beraya di rumah saudara-mara dan kawan-kawan kerana mematuhi SOP. Sepupu saya pun tidak dapat balik kampung disebabkan tidak boleh rentas daerah.


“Saya sedih tapi kita terpaksa mematuhi SOP bagi mengelak penularan Covid-19,” katanya yang beraya bersama keluarga di Kota Belud.


Evianna berkata, tahun ini adalah giliran beraya di rumah keluarga suaminya di Sandakan tapi terpaksa membatalkan rancangan itu disebabkan tidak boleh rentas daerah.


Sementara itu Sarjan Mejar Roslinah Opao yang bertugas di Cawangan Jenayah IPD Kota Kinabalu berkata, raya tahun ini disambut secara sederhana bersama anak-anak di rumah.


Roslinah bersama anak-anaknya beraya di rumah.

“Pandemik Covid-19 yang melanda negara kita menghalang kita beraya ke sana, ke sini... kita patuh kepada arahan kerajaan dan hanya duduk di rumah beraya bersama keluarga,” katanya.

Roslinah Opao

Roslinah yang berasal dari Sandakan berkata, beraya di perantauan tidak asing baginya kerana tuntutan kerja menyebabkan mereka sekeluarga terbiasa beraya diperantauan.


Janeccar Yado

Bagi Janeccar Yado dari Tamparuli, sambutan raya tahun ini tidak semeriah seperti tahun-tahun sebelum pandemik Covid melanda dunia kerana kini semuanya terbatas.


“Saya sambut raya ala kadar bersama keluarga dan tiada rumah terbuka. Kebaikannya kita dapat berjimat cermat daripada berbelanja lebih dan menghindari daripada jangkitan Covid-19 sebab kita tidak tahu siapa yang positif Covid di antara tetamu-tetamu yang hadir. Sebab itu, pematuhan SOP amat penting.


“Apa yang menyedihkan, ramai kawan-kawan dan saudara mara tidak dapat balik beraya bersama keluarga kerana PKPB atau PKP. Bagaimanapun apa yang penting, patuhi semua SOP yang ditetapkan kerajaan 'kita jaga kita'," katanya.


Janecarr turut menyokong kerajaan Sabah mengekalkan PKPB dengan SOP-SOP yang lebih ketat termasuk tidak boleh mengadakan majlis rumah terbuka dan rentas daerah.



"Walaupun begitu, ramai orang tidak berpuas hati kerana SOP sentiasa berubah-ubah dan kerajaan membuat sesuatu keputusan last minit... ini menyusahkan orang ramai,” katanya.


Seorang peniaga online, Erdie Ab Wahid dari Beaufort berkata, mereka sekeluarga terpaksa menyambut Raya Aidilfitri di “perantauan” disebabkan tidak dibenarkan rentas daerah.

Erdie tidak dapat balik kampung halaman, hanya video call ibu bapa di kampung

“Tahun ini kali pertama dalam seumur hidup kami sekeluarga menyambut Raya Aidilfitri di 'perantauan'.. selalunya kami laki bini akan bergilir-gilir balik antara Ranau dan Beaufort. Tahun lalu kami berpeluang untuk balik ke Ranau dan Beaufort tapi kali ini memang tidak dapat.


“Raya tahun ini tidak semeriah tahun-tahun sebelum ini sebab tidak dapat berkumpul bersama ibu bapa dan mentua di Ranau, tetapi SOP yang ketat bertujuan baik untuk mengelak wujudnya kluster baharu di musim perayaan,” katanya.


Erdie berkata, apa yang menyedihkan sebelum ini mereka sekeluarga biasanya mengambil gambar kenangan bersama keluarga besar sempena Hari Raya tetapi tahun ini hanya video call dengan ibu bapa di kampung.


“Saya sedih tetapi apa boleh buat, kita harus akur dengan SOP yang ditetapkan kerajaan. Saya berharap seluruh rakyat Malaysia mematuhi SOP bagi mengelak penularan Covid dan kluster baharu,” katanya.

Chriscylda George

Seorang usahawan wanita dari Kudat Chriscylda George berkata, sambutan Raya Aidilfitri tahun ini berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini disebabkan pandemik Covid-19.