• Marryan Razan

Kemiskinan di Sabah setakat 1 Dis, 86,766 orang



7 Disember 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Statistik kemiskinan terkini di Sabah di bawah metodologi baharu setakat 1 Disember 2021 ialah 86,766 orang miskin tegar, miskin dan terkeluar.


Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim berkata, daripada jumlah itu miskin tegar adalah 41,490 orang, miskin (24,864 orang) dan jumlah terkeluar adalah 20,412 orang.


Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick yang bertanya apakah metodologi terkini yang digunakan oleh kerajaan negeri bagi menentukan pendapatan garis kemiskinan (PGK) dan apakah statistik kemiskinan terkini di Sabah di bawah metodologi baharu ini.


“Berdasarkan maklumat daripada pihak Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (ICU JPM Sabah), kerajaan telah mengkaji semula metodologi penetapan PGK supaya ia lebih menggambarkan corak perbelanjaan dan keperluan serta demografi semasa isi rumah, seiring dengan kemajuan yang dicapai oleh negara bermula daripada Pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (KSP RMKe-11) pada 18 Oktober 2018.


“Metodologi pengiraan PGK ini kali terakhir dikemaskini pada tahun 2005 dan PGK pada tahun 2016 adalah sebanyak RM980 sebulan bagi satu isi rumah.


“Kajian ini telah dijalankan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE, JPM) dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Kementerian Kesihatan dan beberapa kementerian serta agensi yang berkaitan bermula bulan Mac 2019 sehingga Jun 2020,” katanya pada sesi soal jawab, persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.


Jahid berkaa, hasil daripada kajian semula yang dijalankan, metodologi penetapan PGK telah ditambahbaik dalam tiga aspek.


“Antaranya konsep penetapan PGK makanan yang diperkemaskan daripada ‘minimum’ kepada ‘optimum minimum’ iaitu dengan mengambilkira peningkatan kualiti item bakul makanan berdasarkan Piramid Makanan 2020 dan kumpulan makanan Panduan Diet Malaysia (PDM) 2020 selaras dengan aktiviti fizikal harian dan kehidupan yang sihat.


“Bagi PGK bukan makanan pula, keperluan kumpulan isi rumah berpendapatan 20 peratus terendah (B20) yang dikenal pasti telah bertambah dari 106 kepada 146 item. Ini bermakna, 40 item yang dahulunya tidak dianggap sebagai keperluan asas kepada kumpulan B20, kini telah dimasukkan ke dalam senarai tersebut.


“Perubahan corak perbelanjaan isi rumah, harga barangan dan perkhidmatan semasa pada tahun 2019 berbanding tahun 2005,” katanya.