KEMPEN DERMA DARAH BERSEPADU ESOK (17 JULAI) DAN LUSA DI CENTER POINT

16 Julai 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Orang ramai dijemput menjayakan Kempen Derma Darah bersepadu anjuran bersama 14 badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta pada 17 Julai (esok) hingga 18 Julai ini.
Program derma darah selama dua hari itu bermula jam 11 pagi hingga 5 petang akan diadakan di Ground Floor Center Point, Kota Kinabalu.
Presiden Persatuan Talasemia Sabah, Francis Mujim berkata, kempen itu diadakan sebagai usaha memastikan bekalan darah mencukupi bagi golongan yang memerlukan transfusi darah.

"Krisis kekurangan bekalan darah semakin ketara dan menjejaskan kehidupan individu-individu yang memerlukan bekalan darah seperti pesakit talasemia dan juga pesakit-pesakit kanser.
"Oleh itu, kita mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk membantu kita mencapai sasaran 200 pain darah pada program itu," katanya ketika dihubungi media, pada Jumaat.
Francis berkata, kempen itu bertujuan membantu Tabung Darah Hospital mengumpul bekalan darah bagi menampung keperluan para pesakit yang menjalani rawatan di hospital.
"Budaya menderma darah adalah satu amalan mulia yang mampu menyelamatkan nyawa dan memberikan harapan kepada para pesakit yang memerlukan bekalan darah,” katanya.
Kempen Derma Darah itu dianjurkan dengan kerjasama UPKO, Majlis Belia Sabah, Persatuan Thalassaemia Sabah, St.John Ambulans Malaysia, Pertubuhan Komuniti Penderma Darah Malaysia, Persatuan Penderma Darah Sabah, Seindah Cafe dan e-Noveal.
Commentaires