Kempen derma darah dapat sambutan sempena Tamu Besar Kota Belud

3 November 2024
KOTA BELUD: Ahli Lembaga Pelawat Hospital Kota Belud, dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Kota Belud, telah berjaya menganjurkan Kempen Derma Darah pada Sabtu, 2 November lalu bersempena dengan perasmian Tamu Besar Kota Belud.
Program ini diadakan di ruang Pejabat Kesihatan Daerah Kota Belud di tapak Tamu Besar dan menerima sambutan yang menggalakkan dari masyarakat setempat.
Carlye Lajimin, Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Kota Belud merangkap Ketua Pegawai Perhubungan ADUN Kadamaian, turut hadir menyokong program ini.
Beliau memaklumkan bahawa pihak penganjur menyediakan cenderahati seperti biskut, beras, dan minuman sebagai tanda penghargaan kepada para penderma.
Richard Chua, sukarelawan yang bertugas, melaporkan bahawa sebanyak 50 beg darah berjaya dikumpulkan sehingga jam 4.30 petang, yang menunjukkan sambutan yang sangat positif daripada orang ramai.
Carlye juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua sukarelawan serta penderma darah yang telah memainkan peranan penting dan memberikan
sokongan padu untuk menjayakan kempen ini serta berharap agar semangat kesukarelawan ini dapat diteruskan pada masa hadapan.
Katanya kempen ini tidak hanya bertujuan mengumpulkan bekalan darah, tetapi juga sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menderma darah untuk menyelamatkan nyawa.
Comentários