top of page

Kenaikan harga bukan salah kami, kata peniaga

  • Writer: Ilona Andrew
    Ilona Andrew
  • Dec 4, 2021
  • 3 min read

Updated: Dec 4, 2021


4 Disember 2021

Oleh Ilona Andrew


KOTA KINABALU: Dituduh mencekik darah dan mengambil untung besar oleh pelanggan, namun hakikatnya peniaga barang makan keperluan asas seperti sayur-sayuran, daging ayam dan telur ayam juga mengalami kerugian sejak isu kenaikan harga semakin hangat.


Sejak kenaikan harga secara mendadak bermula bulan November, keadaan di pasar tani semakin lengang kerana kurangnya pengunjung.


Menurut para peniaga sayur yang ditemubual Nabalu News semasa tinjauan di beberapa daerah di Sabah, mereka terpaksa menaikkan harga jualan kerana harga borong produk mahupun beg plastik bertangkai dan getah sayur telah naik mendadak.


Raini Dihing yang telah berkecimpung dalam dunia perniagaan sayur selama 15 tahun mendakwa, harga sepaket beg plastik kini dijual pada harga RM6 dari RM3.50, manakala harga sepaket getah sayur naik RM1 hingga RM2 dari harga asal.

Sementara itu, katanya harga borong sayur daun seperti sawi pula naik kepada RM5 sekilogram dari RM2.50 sekilogram.


Disebabkan harga sayur dinaikkan oleh pembekal, beliau dan juga peniaga-peniaga lain terpaksa menaikkan harga jualan mereka demi menampung kos perbelanjaan.


“Pembekal juga terpaksa menaikkan harga jualan kerana harga baja dan racun tanaman turut naik mendadak.


“Namun, ramai pembeli yang menyangka bahawa kami sengaja menaikkan harga sayur, sedangkan untung kami sangat sikit,” kata peniaga di Pasar Tamparuli itu, sambil menambah pembeli seharusnya tidak menyalahkan peniaga berhubung isu ini.

Difahamkan, harga racun yang dahulunya boleh didapati pada harga RM190 untuk 20 liter telah naik harga dua kali ganda sehingga RM380.


Raini berkata, kenaikan mendadak ini bukan sahaja memberi tamparan hebat kepada petani atau pembekal, malah juga menjejaskan pendapatan peniaga dan pengusaha kecil.


Seorang lagi peniaga, Amran Ahmad yang berasal dari Beaufort berkata pelbagai faktor yang mempengaruhi kenaikan harga barang makan, antaranya cuaca yang tidak menentu dan kejadian banjir.


“Kalau hujan tanpa henti dan banjir, tanaman akan rosak. Oleh itu, untuk menampung kos kerugian ini, petani terpaksa menaikkan harga.

“Bukan kami sengaja naikkan harga, tapi pembekal yang naikkan harga. Untung kami sikit sahaja, kami pun tidak banyak naikkan harga kerana takut pengguna tidak mahu beli,” katanya.


“Paling tinggi saya ambil untung pun RM2 sahaja untuk jualan saya. Itu pun untung harian hanya boleh mencecah RM200 dalam sehari sedangkan dahulu, pendapatan saya boleh sampai RM1,000.


“Sekarang ini semua orang pun takut nak masuk ke pasar kerana kemerosotan ekonomi di samping kenaikan harga barang makan yang melambung tinggi,” tambahnya.


Amran turut menjelaskan bahawa harga jualannya juga terpaksa dikurangkan seperti yang digesa oleh Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sabah setelah menerima aduan dari pengguna.

Namun, beliau mendakwa bahawa harga yang dikurangkan terlalu murah dan tidak menguntungkan para peniaga.


Selain kawalan harga, Amran yang merupakan peniaga sayur-sayuran sejak tahun 1970an itu berkata kerajaan sepatutnya memikirkan jalan penyelesaian yang lebih menyeluruh, seperti projek tebatan banjir.


“Saya juga berharap agar harga barang makan dapat diseragamkan semula agar pengguna dapat meneruskan kelangsungan hidup dan berbelanja dengan senang hati,” ujarnya.


Sementara itu, Nga Ngiut Chu yang berumur 75 tahun dan berjual di pasar tamu mengakui bahawa beliau terpaksa menjual barangan basahnya, iaitu daging ayam, di bawah kawalan harga.

Menurutnya, ramai pelanggan akan meminta diskaun dan walaupun berat hati, beliau terpaksa menuruti kata pelanggannya meskipun beliau hanya untung sedikit.


Katanya, harga dedak jagung yang kini mencecah RM130 (20kg) dari harga RM30 antara punca ayam dijual dengan harga mahal.


Nga menjelaskan beliau hanya mampu menjual dua hingga tiga unit ayam bulat dalam sehari walaupun mula berniaga sejak pagi sehingga petang.


Setelah mendengar keluhan para peniaga di beberapa daerah, Nabalu News mengadakan kunjungan ke gerai pengusaha sayur-sayuran di Kundasang untuk medapatkan input mereka memandangkan mereka merupakan pembekal sayur terbesar di Sabah.

Mereka mengesahkan terdapat kenaikan harga yang mendadak ke atas pembekalan akibat harga baja dan racun tanaman yang naik seratus peratus.


Harga borong tomato, contohnya, sebelum ini hanya RM1 hingga RM2 sekilogram tetapi kini telah naik sebanyak RM4.


Tinjauan Nabalu News di sekitar daerah Kota Kinabalu, Papar, Tamparuli, Kundasang, Kota Belud dan Kota Marudu juga mendapati harga telur ayam naik lebih kurang RM2 dari harga asal, dan daging ayam naik sehingga RM3 sekilogram.


Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page