top of page
Wartawan Nabalu News

Kenaikan harga minyak masak, telur ayam bebankan pengguna, peniaga


Gambar Hiasan

23 Jun 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Keputusan kerajaan tidak meneruskan subsidi minyak masak sawit tulen dalam botol serta keputusan untuk tidak meneruskan harga siling ayam dan telur ayam berkuatkuasa 1 Julai ini, menimbulkan pelbagai reaksi para pengguna.


Menurut mereka keputusan kerajaan itu tidak wajar dalam keadaan rakyat khususnya golongan B40 masih bergelut masalah kewangan ekoran pandemik Covid dua tahun lepas.


Kebanyakan yang ditemui Nabalu News menyatakan rasa kecewa terhadap tindakan kerajaan itu yang disifatkan ‘kurang prihatin’ keluarga Malaysia.


Seorang peniaga kecil-kecilan Angel Jane berkata, pemansuhan subsidi minyak masak itu akan memaksa para peniaga menaikkan harga makanan.


“Harga ayam dan telur juga dijangka akan terus meningkat, begitu juga dengan harga minyak masak. Jadi saya tiada pilihan kecuali menaikkan sedikit harga nasi ayam dan mee sup ayam. Saya fikir, para peniaga lain pun sama seperti saya.


“Kerajaan tidak seharusnya membuat keputusan itu dalam keadaan rakyat masih lagi bergelut masalah kewangan ditambah lagi dengan kenaikan harga pelbagai barangan keperluan asas yang lain,” katanya.


Sementara itu, Ilona Andrew, berkata, tindakan kerajaan ini seharusnya menjadi pembuka mata kepada rakyat Sabah agar membuat pilihan yang lebih tepat semasa Pilihan Raya Umum nanti.


“Di kala rakyat dalam kesusahan, kerajaan yang sepatutnya membantu untuk meringankan beban rakyat pula bertindak seolah-olah menabur ‘garam di atas luka’.


“Sekadar memberi bantuan RM100 itu bukanlah jalan penyelesaian, tetapi sekadar ingin menutup mulut rakyat yang tidak puas hati. Sepatutnya rakyat jangan ‘masuk perangkap’ helah lapuk ini,” katanya.


Tambahnya lagi, ada juga beberapa penyokong kerajaan yang mengecam tindakan rakyat yang tetap mengambil bantuan kewangan yang diberi oleh kerajaan itu walaupun menentang dasar pemansuhan subsidi ini.


“Ada yang cakap dengan saya, jangan hipokrit mengharapkan bantuan ini jika ingin menentang dasar kerajaan. Tetapi hakikatnya, duit yang kerajaan bakal beri itu adalah duit rakyat. Apa yang hipokrit tentang itu?


“Dari kecaman sedemikian, kita tahu ramai lagi rakyat, khususnya penyokong kerajaan, yang masih mempunyai ‘mindset’ yang ketinggalan jauh. Harapan saya adalah agar hal ini menjadi pembuka kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang lebih baik.”


Sementara itu, ramai pengguna media sosial juga memberi pelbagai reaksi terhadap isu tersebut dan rata-rata mengeluh serta kesal dengan tindakan pihak kerajaan memansuhkan subsidi-subsidi tersebut.


Seorang netizen berkata, penarikan subsidi oleh pihak kerajaan itu adalah tidak wajar kerana ini akan membebankan lagi ramai rakyat terutama sekali daripada golongan B40.


“Bagi saya, penarikan subsidi kerajaan itu adalah tidak wajar dan ini membuatkan ramai rakyat yang marah.


“Tetapi benda ini terjadi pun disebabkan ada sesetengah pihak yang menyelewengkan subsidi dan bantuan. Sehinggakan ada yang ‘kantoi’ (kedapatan) menjual minyak paket bersubsidi di Kalimantan,” katanya.


Dalam pada itu, para netizen juga risau jika penarikan subsidi itu menyebabkan harga barang-barang dinaikkan sesuka hati oleh para penjual.


“Tanpa subsidi dari kerajaan, maknanya tiada lagi 'perbincangan' dengan pihak-pihak kerajaan untuk harga-harga barang dinaikkan sesuka hati. Oleh itu, mungkin harga barangan akan naik secara tidak masuk akal,” katanya.


Ada juga berpendapat bahawa, jika subsidi barangan ditarik balik, kerajaan juga perlu menaikkan lagi gaji minimum pekerja setimpal dengan kenaikan harga barangan sekarang.


“Kalau subsidi ditarik balik, harga siling dinaikkan. Kalau macam itu, gaji ‘basic’ juga harus dinaikkan kepada RM2, 500.


“Oleh itu, jangan tarik subsidi, jangan naikkan harga barang melambung lambung,” katanya lagi.

Sementara itu Rugaya Mogundang berkata, kos perbelanjaan yang meningkat secara mendadak amat dirasai.


“Walaupun ada minyak dalam paket yang dijual dalam harga yang murah tetapi ia sekejap habis dan kadang-kadang amat susah didapat di kedai.


“Sebab itu saya tidak setuju dengan tindakan kerajaan menarik balik subsidi minyak masak dalam botol kerana ia adalah keperluan asas yang sangat penting untuk pengguna termasuk peniaga,” katanya.



תגובות


bottom of page