• Wartawan Nabalu News

KENAPA BERI MORATORIUM SECARA AUTOMATIK KEPADA B40, TAPI TIDAK BAGI M40?


Lim Guan Eng

5 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP yang juga Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng terkejut dengan kenyataan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa kerajaan bakal menanggung kos pampasan kepada institusi perbankan, sekiranya bertekad mahu moratorium pukal dilaksanakan kepada semua peminjam bank.


Beliau merujuk kepada Seksyen 5 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan jika kerajaan menggunakan kuasa mengambil alih dan menggembleng apa jua sumber untuk kepentingan negara maka kos pampasan harus diberikan kepada pihak yang memiliki sumber tersebut iaitu institusi perbankan.


“Ini adalah pengakuann rasmi bahawa kerajaan memang mempunyai kuasa untuk memaksa institusi perbankan melaksanakan moratorium pinjaman bank kepada golongan berpendapatan sederhana M40.


“Yang bakal menjadi masalah, mengikut kenyataan Menteri Kewangan adalah kos pampasan yang akan ditanggung kerajaan sekiranya peruntukan Seksyen 5 Ordinan Darurat digunakan bagi melaksanakan moratorium pukal,” katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini.


Lim berkata, sekiranya benar, mengapa institusi perbankan boleh menaggung kos moratorium pinjaman bank secara automatik untuk peminjam B40 tanpa sebarang pampasan daripada kerajaan, tetapi tidak pula untuk peminjam M40?


“DAP telah menuntut kerajaan melaksanakan kembali pemberian moratorium automatik kepada peminjam B40 dan M40 sehingga akhir tahun, yakni sehingga selesainya Program Imunisasi Covid-19 kebangsaan (PICK) bagi meredakan keresahan rakyat ekoran pelaksanaan sekatan penuh pergerakan (PKP) sejak 1 Jun lalu.


“Sekiranya institusi perbankan mampu menanggung kos moratorium pinjaman bank secara automatik kepada peminjam B40, ia sememangnya mampu berbuat demikian untuk peminjam M40.


“Ini ekoran keuntunagan sihat industri perbankan yang mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM32.3 bilion pada tahun 2019 dan RM23 bilion pada 2020,” katanya.


Malah katanya, CIMB Group Holdings Bhd melaporkan keuntungan bersih suku pertama 2021 yang paling tinggi dalam sejarah sebanyak RM2.46 bilion berbanding dengan RM507.93 jutapada tahun sebelumnya.


“Adalah ketara sekali bahawa institusi perbankan memang mampu menjalankan tanggungjawab korporat sosial dengan keuntungan yang begitu tinggi.


“Dalam keadaan kemelesetan ekonomi, adalah perlu dan wajar masalah kewangan peminjam dikongsi bersama dengan institusi perbankan yang mencatatkan keuntungan sepanjang tahun 2019 dan 2020 yang begitu baik,” katanya.


Lim berkata: “Jangan biarkan hanya rakyat susah tapi industri perbankan yang senang demi mengelakkan persepsi negatif bahawa kerajaan hanya mendengar suara syarikat besar, tetapi memekakkan telinga dengan rintihan rakyat”.


“Jangan lupakan dan biarkan golongan M40 tercicir begitu sahaja kerana industri perbankan memang mampu menanggung kos moratorium pinjaman bank secara automatik kepada peminjam M40,” katanya.