top of page

Kenderaan jatuh gaung, penumpang maut, pemandu cedera

  • nabalunews
  • Sep 29, 2024
  • 2 min read

29 September 2024


KOTA KINABALU: Seorang penumpang maut, manakala seorang lagi cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum jatuh ke dalam gaung sedalam 30 meter di Bukit Kopungit Vantage Point, Jalan Bukit Perwira, Kota Kinabalu, malam tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa Bianus Asai, 67, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.


Manakala pemandu kenderaan, Genol Lopidi, 66, cedera dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.


Kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux Rouge yang dinaiki kedua-dua mangsa itu dipercayai mengundur lalu terbabas sebelum jatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 30 meter.


Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, terdapat seorang mangsa tersepit manakala seorang lagi tercampak keluar.


Katanya, pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas.


Mangsa yang cedera kemudian dibawa naik oleh pasukan bomba sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan, EMRS.


Seorang lagi mangsa yang tercampak keluar disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia, katanya.


Operasi menyelamat dijalankan 14 pegawai dan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bermotor Bomba, RIM dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Azlee Abdullah.


Operasi bomba ditamatkan pada jam 12.21 tengah malam.


Sementara itu siasatan polis mendapati kenderaan pacuan empat roda yang terjatuh dalam gaung hingga menyebabkan seorang maut dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu yang menurunkan brek tangan menyebabkan kenderaan terus mengundur sebelum jatuh ke dalam gaung di Kampung Kopungit, malam tadi.


Dalam kejadian jam 10.17 malam itu, kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux Rouge dinaiki empat lelaki berusia lingkungan 60 tahun.


Ketika semua mangsa masuk dan berada di dalam kenderaan berkenaan dalam keadaan enjin belum dihidupkan secara tidak sengaja, pemandu telah menurunkan brek tangan.


Akibat daripada itu, kenderaan yang dinaiki mereka telah mengundur ke belakang. Penumpang hadapan sempat melompat keluar manakala pemandu dan bersama dua lagi penumpang di bahagian belakang masih berada di dalam kenderaan berkenaan.


Kenderaan itu mengundur laju ke dalam gaung sedalam hampir 38 meter. Selepas kemalangan itu, pemandu dan salah seorang penumpang bahagian belakang terperangkap dan berjaya dikeluarkan oleh bantuan pasukan bomba.


Bagaimanapun, seorang lagi penumpang di belakang disyaki telah melompat ketika kenderaan itu mengundur dan ditemui di luar kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadkan oleh doktor dari Hospital Queen Elizabeth (HQE).


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah disebabkan oleh pemandu Toyota Hilux yang cuai mengawal kenderaannya dengan menarik brek tangan sehingga menyebabkan hilang kawalan terhadap pemanduan dan menyebabkan kematian seorang penumpangnya.


Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu dengan melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.


Sehubungan itu, katanya, orang awam dinasihatkan supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalu lintas.

Коментарі


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page