top of page
  • nabalunews

Kenderaan langgar pokok, lelaki maut

4 Ogos 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


SANDAKAN: Seorang lelaki berusia 26 tahun maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya melanggar sebatang pokok di Batu 3, berdekatan Perabot Chan Sandakan, awal pagi tadi.


Mangsa dikeluarkan oleh Pasukan Bomba menggunakan peralatan khas (Rescue Tools).


Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.


Terdahulu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah menyatakan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 3.30 pagi menerusi talian MERS999.


Sepasukan 8 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan diketuai Komander Operasi, Rosemidian @ Rosdi Majid dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 1 kilometer dari balai dan membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam.kenderaannya.


Setelah memastikan keadaan selamat, operasi bomba ditamatkan jam 4.20 pagi.


Identiti mangsa masih belum dikenal pasti.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata, hasil siasatan awal Polis mandapati sebelum kemalangan berlaku mangsa memandu kenderaan bersendirian dari Batu 4 menuju ke pusat bandar Sandakan.


Tiba di lokasi kemalangan, kenderaan mangsa dikatakan telah hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan merempuh sebatang pokok di pembahagi jalan.


Mangsa yang mengalami kecederaan parah, meninggal dunia di lokasi kemalangan.


Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent (HDOK), Sandakan untuk bedah siasat.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan 1987.

ความคิดเห็น


bottom of page