• nabalunews

KENYATAAN ZAHID TIDAK DAPAT KELULUSAN: KETUA MEDIA BN DIGANTUNG TUGAS SEBULAN



5 Mac 2021


KUALA LUMPUR: Sekretariat Barisan Nasional (BN) menggantung tugas ketua pegawai medianya selama sebulan berkuat kuasa serta-merta kerana mengedarkan kenyataan media atas nama Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang belum mendapat kelulusan dan kurang tepat.


Setiausaha Eksekutif BN Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz dalam kenyataan di sini, berkata keputusan berkenaan diambil setelah mendengar pandangan daripada Jawatankuasa Siasatan Dalaman yang mengadakan perbincangan berkaitan perkara itu hari ini.



“Saya telah mewujudkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman pada pagi ini bagi membincangkan kenyataan media pengerusi BN yang tidak mendapat kelulusan Sekretariat Dewan Tertinggi BN terlebih dahulu dan kurang tepat sebagaimana yang telah diperbincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN,” katanya.


Beliau berkata merujuk kepada insiden berkenaan, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO juga menegaskan kekeliruan terhadap kenyataan itu merupakan kekhilafan daripada seorang pegawai di Sekretariat BN.


Mohamad Sahfri berkata penggantungan pegawai berkenaan juga adalah bagi membolehkan siasatan dalaman dapat dilaksanakan dengan lebih terperinci dan lebih berkesan.


Semalam, kenyataan media itu menyebut BN merayu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk menitahkan sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera. - Bernama