Keperluan penduduk Pulau Berhala, Sandakan diutamakan
25 November 2024
SANDAKAN: Akses kepada bekalan air bersih, pembaikan infrastruktur dan langkah-langkah keselamatan di sekitar kawasan kampung antara isu dibincangkan dalam sesi dialog Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung bersama penduduk kampung Pulau Berhala, Sandakan, hari ini.
Program anjuran Pusat Khidmat Rakyat ADUN Tanjong Papat turut dihadiri Setiausaha ADUN Tanjong Papat yang juga Pengerusi Jetama Water Sdn Bhd, Liau Fui Fui, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tanjong Papat, Mohd Faried Ismail dan kakitangan pejabat ADUN Tanjong Papat.
"Kita akan memastikan keperluan penduduk di Pulau Berhala diutamakan.
"Setiap aduan yang diterima akan dikaji dengan teliti dan tindakan segera akan diambil demi meningkatkan kualiti hidup penduduk di sini," kata Frankie.
Manakala Fui Fui memaklumkan pemasangan sistem Jetama Self Powered and Mobile Drinking Water System akan dimulakan bulan hadapan dan dijangka siap pada Februari tahun depan.
Kapasiti sistem ini adalah sebanyak 30,000 liter sehari, yang mampu memenuhi keperluan minuman harian sehingga 5,000 orang.
Pengumuman itu mendapat sambutan positif daripada penduduk kerana ia membantu menyelesaikan isu bekalan air bersih di kawasan tersebut.
Comments