• Wartawan Nabalu News

Keputusan Mahkamah Tinggi satu kemenangan demokrasi negara: Syed Saddiq



14 Dis 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Pengasas bersama Parti Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda), Syed Saddiq Abd Rahman menganggap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini merupakan satu kemenangan kepada sistem demokrasi negara dan bukan hanya kemenangan kepada pihaknya semata-mata.


Beliau berkata, dengan keputusan tersebut itu Muda mempunyai tempat untuk menyuarakan pendapat, kritikan dan cadangan untuk membangunkan negara.


“Apbila kami semua bermula kira-kira lebih satu tahun setengah lepas, pengasas-pengasasnya semuanya adalah guru aktivis, peguam, doktor-doktor muda, petani muda, korprat muda yang tidak mempunyai pengalaman politik yang panjang.


“Kita tidak ada wang, tidak ada kedudukan mewah dalam kerajaan tetapi yang kita ada ialah iltizam dan semangat untuk berjuang demi negara tercinta.


“Setahun setengah kita melalui pelbagai cabaran dan rintangan, pendakwaan, ugutan ... tetapi dengan keputusan hari ini semua yang dilalui sebelum ini bermakna dan berbaloi,” katanya semasa sidang media selepas keputusan itu diumumkan hari ini.


Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan berkata Muda diwujudkan bukan untuk membakar jambatan tetapi untuk membina jambatan.


Jelasnya, Muda bukan untuk memusnahkan Malaysia tetapi untuk membangunkan negara berbilang bangsa dan agama serta memperkasakan politik bagi memastikan tidak ada golongan miskin terkecuali daripada sistem demokrasi negara.


Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin supaya mendaftarkan Parti Muda dalam masa 14 hari serta membayar kos guaman sebanyak RM10,000.