Keputusan Speaker sah, jangan termakan naratif pembangkang: Adam Adli
12 Julai 2024
KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Adam Adli Abd Halim berkata, pembangkang tiada asas kukuh dalam mencabar ketetapan yang telah dicapai oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat melainkan hanya memainkan sentimen berlandaskan naratif dan matlamat politik mereka.
Beliau berkata, ini kerana Yang di-Pertua Dewan Rakyat mempunyai hak dan kuasa membuat keputusan selari dengan ketetapan Perlembagaan Persekutuan dan tidak bercanggah dengan tafsiran Akta Lompat Parti
“Pada zahirnya, enam Ahli Parlimen (Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong kerajaandan Perdana Menteri) tersebut tidak membelakangi undang-undang, memandangkan mereka tidak pernah menukar keahlian parti mahupun meninggalkan parti masin-masing untuk menyertai parti politik lain. Ini telah digariskan secara jelas oleh Akta Lompat Parti.
“Andai peruntukan ini dilihat sebagai satu kesalahan atau kelemahan dalam Akta Lompat Parti, ianya terbuka untuk dibahas dan dipinda seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri hari ini,” katanya dalam ciapan melalui Twitter, hari ini.
Adam menyatakan bahawa, pembangkang menyandarkan takrifan mereka dengan keputusan yang dibuat oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang membawa kepada kekosongan kerusi DUN Nenggiri.
“Keputusan yang dibuat di DUN Kelantan adalah di bawah tafsiran dan kuasa Speaker DUN, sama seperti kuasa yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat,” katanya.
Katanya lagi, hal itu tidak sama memandangkan kedua-duanya mempunyai ruang lingkup kuasa yang berbeza.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menerima notis kekosongan kerusi DUN Nenggiri dan memanggil pilihan raya kecil (PRK) perlu dilihat sebagai penyempurnaan proses dan tugas mereka selaras kewajipan yang diperuntukkan kepada SPR, apabila menerima notis kekosongan, bukan pembuktian terhadap kewajaran keputuasan oleh Speaker DUN Kelantan.
“Kita juga boleh merujuk kepada keputusan yang dibuat di Dewan Negeri Selangor di mana kerusi DUN Selat Klang telah diisytiharkan sebagai kekal dan tidak bercanggah dengan Akta Lompat Parti. Maka terdapat dua tafsiran berbeza yang bercanggah dalam isu ini. Dewan Rakyat tidak bersendirian dalam mencapai keputusan yang sama,” katanya.
Sehubungan itu katanya, YB Akmal Saleh dilihat tidak memahami secara mendalam isu terbaru ini.
“Sebelum menempelak sama ada Kerajaan Persekutuan mahupun Yang di-Pertua Dewan Rakyat dengan pandangan yang begitu merendahkan, wajar bagi YB Akmal Saleh merujuk terlebih dahulu pandangan, maklumat, fakta dan pendirian bersama Kerajaan Perpaduan. Ini amalan bersama yang amat dituntut dan seharusnya jadi keutamaan terutama dalam situasi yang runcing.
“Kita tidak boleh terbuai dan menari mengikut rentak sumbang pembangkang. Jangan terpesona dengan sorakan pembangkang. Enak didengar tapi hanya untuk menjatuhkan kita,” katanya.
Comments