Keputusan SPM keluar 24 April
- nabalunews
- Apr 17, 2025
- 1 min read

17 April 2025
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 akan dikeluarkan Khamis depan.
Dalam satu kenyataan KPM hari ini berkata, seramai 402,956 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2024 di 3,337 pusat peperiksaan seluruh negara.
"Calon sekolah boleh memperoleh keputusan peperiksaan SPM Tahun 2024 daripada sekolah masing-masing mulai pukul 10 pagi pada tarikh berkenaan.
"Manakala, bagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi jabatan pendidikan negeri tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan," katanya.
KPM mengingatkan pihak sekolah agar memastikan pengurusan penyerahan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2024 kepada calon dilaksanakan secara cekap dan teratur.
Dalam pada itu katanya, calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan secara dalam talian melalui pautan myresultspm.moe.gov.my mulai jam 10 pagi, 24 April sehingga 6 petang pada 30 April 2025.
"Selain itu, semakan juga boleh dibuat menerusi SMS dengan menaip SPM, diikuti nombor kad pengenalan dan angka giliran, kemudian dihantar ke 15888 dalam tempoh sama," katanya.
KPM turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua calon SPM 2024 dan berharap kejayaan yang diraih akan menjadi pemangkin untuk terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan.















Comments