top of page
  • nabalunews

Keputusan Tesla batal bina kilang tak jejas operasi Starlink - Fahmi Fadzil


10 Ogos, 2024


KUALA LUMPUR: Pembatalan rancangan pembuat kenderaan elektrik (EV) Tesla untuk mengembangkan operasi pengeluaran syarikat di rantau ini termasuk Malaysia, tidak memberi kesan kepada operasi perkhidmatan satelit Starlink di negara ini.


Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata Tesla dan syarikat SpaceX yang mengendalikan Starlink, milik jutawan Elon Musk adalah dua syarikat berbeza.


"Ia syarikat berbeza. Starlink tetap beroperasi seperti biasa. Mereka tidak ada kesan," katanya seperti dilaporkan Berita Harian.


Fahmi ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini, hari ini.


Baru-baru ini, sebuah portal berita dalam talian Thailand, The Nation yang memetik sumber kerajaan melaporkan mengenai Tesla membatalkan rancangan membangunkan kilang di Malaysia, Thailand serta Indonesia.


Laporan itu turut menyatakan perbincangan Tesla pada masa ini hanya menjurus kepada usaha berkaitan stesen pengecasan dan menggantung rancangan membangunkan kilang bukan sahaja di Thailand malah juga di peringkat dunia.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kegagalan Tesla dalam bersaing dengan EV dikeluarkan syarikat dari China, menyebabkan ia membatalkan rancangan mengembangkan operasi pengeluaran di rantau ini.


Katanya, perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.


Pada masa sama, Tengku Zafrul berkata, Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di Malaysia.


Sementara itu, Fahmi memaklumkan, setiap kementerian akan mengumpulkan data berkaitan prestasi Ekonomi MADANI untuk dibentangkan Perdana Menteri pada Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Zon Selatan, 17 Ogos ini.


Fahmi berkata, beberapa dasar diumumkan selepas setahun Ekononi MADANI dilancarkan pada Julai tahun lalu, termasuk Dasar Gaji Progresif dan kenaikan gaji penjawat awam, selain langkah pemulihan ekonomi dan menarik pelaburan.


"Insya-Allah, semua kementerian akan cuba untuk kumpulkan dan saya percaya, Perdana Menteri akan bentangkan nanti," katanya.


Pada 15 Julai tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan merancang perolehan 40 peranti satelit Starlink untuk kegunaan institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah seluruh negara dalam usaha meningkatkan capaian internet, sekali gus mewujudkan akses lebih luas dan pantas untuk pelajar.


Ia susulan pertemuannya secara maya dengan jutawan dan usahawan teknologi Amerika Syarikat, Elon Musk, sehari sebelumnya.


Sehari sebelumnya, Fahmi memaklumkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kuala Pilah, Negeri Sembilan menerima unit pertama peranti satelit Starlink dalam usaha kerajaan mempertingkat kualiti perkhidmatan internet, yang diserahkan sendiri oleh Perdana Menteri.


Peranti Starlink yang ditempatkan di UiTM Kuala Pilah itu boleh digunakan oleh kira-kira 100 peranti pada satu-satu masa.


Laman sesawang Starlink memaklumkan harga peranti perkhidmatan internet satelit itu RM2,300 bagi perkakasan standard dan RM11,613 bagi perkakasan berprestasi tinggi, dengan kelajuan sekitar 100 Mbps.

Kommentare


bottom of page