Wartawan Nabalu News
KERAJAAN AKAN TELITI PKPB DI SABAH DILANJUTKAN ATAU TIDAK: MASIDI
02 Dis 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kerajaan sedang meneliti sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah yang akan berakhir pada 6 Disember ini, dilanjutkan atau sebaliknya.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, sebarang keputusan sama ada melanjutkan, menamatkan atau melaksanakan sebarang bentuk kawalan lain akan mengambil kira kepentingan semua sektor tertakluk kepada nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kerajaan kerajaan sedang meneliti perkara ini dari pelbagai aspek termasuk aspek ekonomi dan situasi semasa kes jangkitan Covid-19 di Sabah dalam beberapa hari ini menjelang tamatnya tempoh PKPB.
“Pihak KKM menerusi Jabatan Kesihatan Negeri akan membuat penilaian dan analisa mengenai situasi semasa Covid-19 di negeri ini dan memberikan nasihat berhubung perkara tersebut kepada Kerajaan Negeri,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Sehubungan itu Masidi berharap semua rakyat terutamanya penduduk di kawasan PKPB dapat bersabar menunggu pengumuman rasmi berhubung perkara tersebut.
“Kerajaan merayu semua pihak untuk terus mematuhi segala arahan Pihak Berkuasa dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19,” katanya.
Comments