Kerajaan akur desakan Presiden Umno agar proklamasi darurat tidak disambung Kerajaan akur desakan Presiden Umno agar proklamasi darurat tidak disambung
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan akur desakan Presiden Umno agar proklamasi darurat tidak disambung



26 Julai 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kerajaan akhirnya akur desakan Presiden Umno Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi agar Proklamasi Darurat tidak tidak disambung selepas 1 Ogos ini.


Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Datuk Sri Azlina Othman Said berkata, Presiden Umno telah menggariskan ketetapan UMNO mengenai Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya yang perlu dibatalkan dan tidak diteruskan selepas 1 Ogos 2021.


“Susulan daripada itu, Datuk Seri Takiyuddin Haji Hassan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) sebentar tadi telah mengumumkan Kerajaan Persekutuan memutuskan tidak akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat yang baru apabila tamat pada 1 Ogos 2021.


“Berdasarkan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan darurat yang telah dibuat semasa Proklamasi Darurat ini adalah dibatalkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Sehubungan itu Azlina yang juga Ketua Umno Bahagian Pengerang mengucapkan tahniah kepada Presiden dan kepimpinan parti itu UMNO yang sejak awal lagi dan secara berterusan telah menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dan membawa suara rakyat agar darurat tidak diteruskan selepas 1 Ogos ini.


“Saya yakin hasil daripada desakan berterusan daripada parti UMNO seperti ini telah membuahkan hasil sehingga Kerajaan Persekutuan akur kepada desakan desakan tersebut,” katanya.

bottom of page