top of page

KERAJAAN BANTU USAHAWAN IKS TERJEJAS COVID-19: JOACHIM

  • Wartawan Nabalu News
  • Dec 22, 2020
  • 2 min read


22 DIS 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melaksanakan pelbagai langkah untuk mengatasi masalah kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negeri ini yang terjejas akibat pandemik Covid-19.


Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Dr.Joachim Gunsalam berkata, antaranya melalui program Bantuan Ushawan Industri Kecil dan Sederhana (BAIKS), Bantuan Usahawan mikro dan kotej, Bantuan Pemasaran Produk melalui e-dagang, Pusat Produk IKS Sabah, Kolaborasi dengan Pasaraya Bataras dan Kolaborasi dengan SIRIM Berhad.


“Bantuan BAIKS merupakan geran pembelian mesin dan kelengkapan serta pembungkusan produk kepada usahawan. Setakat ini sebanyak RM10 juta telah dibelanjakan untuk membantu usahawan memajukan perniagaan mereka.


"Dengan adanya bantuan ini para usahawan mampu meningkatkan keupayaan pengeluaran dan dapat mengekalkan pekerja lama serta mengambil pekerja tambahan. Setakat ini seramai 1,070 usahawan mendapat manfaat daripada program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulabayan Datuk Jaujan Sambakong bertanya apa langkah kerajaan negeri untuk mengatasi masalah kehilangan pekerjaan atau punca pendapatan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) kesan daripada pandemik Covid-19.


Joachim berkata, kerajaan juga membantu usahawan mikro dan kotej (Cottage) dengan menyediakan bantuan kewangan secara ‘one-off’ berjumlah RM1,000 untuk meringankan beban aliran kewangan kepada usahawan dalam kategori ini.


"Seramai 20,000 usahawan di seluruh Sabah telah mendapat manfaat dari program ini,” katanya.

Beliau berkata bagi membantu para usahwan dari segi pemasaran, kementeriannya telah melancarkan platform e-dagang yang dinamakan Gobiz untuk memasarkan produk IKS melalui online.


"Platform ini dapat membantu meningkatkan pemasaran produk lebih 155 usahawan IKS Sabah.


"Selain itu kementerian saya juga telah mewujudkan Pusat Produk IKS yang dikendalikan oleh Jabatan Perindustrian dan Penyelidikan untuk kemudahan usahawan IKS Sabah mempamer dan memasarkan produk mereka," katanya.


Beliau berkata kementeriannya telah mewujudkan kolaborasi dengan pihak Pasaraya Bataras untuk memasarkan produk IKS secara fastrack di 20 outlet pasara Bataras.


"Setakat ini, seramai 98 usahawan berjaya memasuki pasaraya Bataras dan menjana jualan melebihi RM600,000 dalam tempoh dua bulan.


"Kementerian saya akan mempergiatkan lagi akses pemasaran produk IKS ke outlet-outlet pasaraya dan kedai-kedai runcit bukan sahaja di Sabah tetapi juga ke Semenanjung Malaysia," katanya.


Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page