Wartawan Nabalu News
KERAJAAN BENARKAN AKTIVITI MASJID DAN SURAU BERKUATKUASA 19 FEB
18 Feb 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Kerajaan membenarkan aktiviti Masjid dan Surau berkuat kuasa 19 Februari (esok) dan solat berjemaah lima waktu serta solat jumaat di seluruh masjid dan surau di semua zon negeri Sabah.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kebenaran tertakluk kepada 1/3 kapasiti dewan solat utama masjid dan surau dengan mengambil kira penjarakkan fizikal.
"Kerajaan Negeri juga bersetuju membenarkan aktiviti di masjid dan surau seperti kuliah maghrib, dhuha dan sebagainya dalam tempoh tidak melebihi satu jam setiap sesi.
"Aktiviti kelas agama dibenarkan diadakan di dewan atau bilik khas masjid tidak melebihi tempoh lima jam dan bilangan peserta tidak melebihi 20 orang dengan pematuhan SOP yang ditetapkan," katanya.
Masidi berkata, majlis akad nikah juga dibenarkan di dalam dewan atau bilik khas masjid dengan kehadiran tidak melebihi 20 orang dalam satu masa dengan menjaga disiplin dan mematuhi SOP.
"Jamuan makan dan minum dibenarkan dalam bentuk bungkusan. Had umur kanak-kanak yang dibenarkan hadir ke masjid dan surau adalah 10 tahun ke atas," katanya.
Comments