Kerajaan beri subsidi tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak sempena Kaamatan, Gawai
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_d53ef39510574023bd0fc3e4488d41dc~mv2.jpg/v1/fill/w_960,h_618,al_c,q_85,enc_auto/d65831_d53ef39510574023bd0fc3e4488d41dc~mv2.jpg)
18 Mei 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju memberikan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan sehala bagi laluan-laluan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah/Sarawak sempena perayaan Pesta Kaamatan pada 30 Mei dan Hari Gawai pada 1 Jun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan akan membeli semua baki tiket penerbangan sehala dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak semasa tempoh tiga hari perjalanan sebelum tarikh sambutan kedua-dua perayaan tersebut.
“Harga tiket penerbangan sehala bagi setiap penumpang bagi laluan-laluan domestik yang menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan Sabah/Sarawak akan ditetapkan maksimum RM300 atau mengikut harga sebenar tambang sekiranya harga tiket tersebut kurang daripada RM300. Harga ini tidak termasuk cukai dan fi.
“Setakat 17 Mei 2023, baki tiket penerbangan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak sebanyak 17,708 tiket penerbangan,” katanya dalam kenyataan media, hari inu.
Loke berkata, memandangkan tiket penerbangan bagi laluan Johor Bahru-Sibu bagi tempoh tiga hari sebelum perayaan Hari Gawai habis dijual, Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Batik Air akan menyediakan perkhidmatan penerbangan sewa khas (charter) dengan kekerapan sekali sehari pada tarikh-tarikh tersebut tertakluk kepada permintaan sebenar.
Katanya lagi, harga tiket penerbangan sehala bagi setiap penumpang bagi laluan ini juga akan turut ditetapkan sebanyak RM300 dan harga ini tidak termasuk cukai dan fi.
“Penetapan harga tambang tetap akan dilaksanakan bermula 20 Mei ini. Orang ramai boleh membeli tiket melalui laman sesawang syarikat-syarikat penerbangan mulai tarikh tersebut,” katanya.
Loke berkata, anggaran kos keseluruhan bantuan subsidi pembelian tiket itu antara RM5.8 juta hingga RM11.4 juta meliputi bayaran perolehan baki tiket penerbangan dan bayaran sewa khas penerbangan.
“Pemberian bantuan subsidi ini diharapkan dapat mengurangkan beban kewangan pengguna yang ingin pulang ke kampung halaman untuk tempoh perayaan Pesta Kaamatan dan Gawai 2023,” katanya.
Comments