top of page
  • nabalunews

KERAJAAN DIGESA LETAKKAN TENAGA KERJA PELANCONGAN, KERAIAN DI DALAM SENARAI PEMVAKSINAN


Gambar Hiasan

5 Feb 2021


KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa supaya meletakkan tenaga kerja sektor pelancongan dan keraian dalam senarai keutamaan program pemvaksinan selepas anggota barisan hadapan dan di samping kumpulan-kumpulan lain berisiko tinggi, kata Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Datuk N Subramaniam.


Beliau berkata industri perhotelan dan pelancongan yang mempunyai 3.6 juta tenaga kerja dan salah satu penyumbang utama kepada ekonomi negara perlu dibela dan tidak dibiarkan merudum.


“Kami perlu melakukan persiapan dan memberi jaminan kepada dunia bahawa Malaysia bersedia menerima ketibaan pelancong antarabangsa sebaik sahaja sempadan negara dibuka semula.


Kami perlu bersedia untuk pemulihan dan mengekalkan keupayaan dan kebolehsaingan pelancongan kita di rantau ini,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Kedua dilaksanakan pada 13 Januari dan dengan peningkatan angka kes COVID-19 yang dilaporkan saban hari, lebih banyak hotel dilaporkan menutup operasi atau merancang untuk berbuat demikian.


Beliau berpendapat ini adalah kenyataan pahit dialami industri itu dan secara tidak rasmi setakat ini lebih daripada 100 hotel sudah menamatkan operasi sejak Mac tahun lepas menjejaskan lebih 7,000 pekerja secara langsung dan selebihnya sama ada menghadapi pemotongan gaji atau cuti tanpa gaji yang berpanjangan.


Menyentuh mengenai PKP Kedua , harapan industri itu untuk pulih tahun ini nampak samar dan dijangka ia mengalami kerugian, minimum RM300 juta dalam bentuk purata pendapatan bagi setiap dua minggu PKP selepas kerugian dianggarkan sebanyak RM6.5 bilion tahun lepas.


“Bantuan segera diperlukan bagi memastikan hotel-hotel dapat beroperasi dan MAH selepas menghantar 19 cadangan bantuan segera bagi industri hotel kepada kerajaan yang disampaikan dalam satu mesyuarat tergempar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC) semalam,” katanya.


Antara 19 cadangan itu ialah menyelesaikan kelewatan pemberian dana di bawah Program Subsidi Upah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang dimohon hotel selain kenaikan diskaun untuk bil elektrik dan air daripada 10 peratus kepada 50 peratus untuk hotel-hotel hingga September tahun ini. - Bernama

Comments


bottom of page