Kerajaan digesa segera baiki jambatan gantung usang Kg. Nelayan Sibuga

11 Januari 2022
Oleh Farah Salim
KOTA KINABALU: Penduduk kampung merayu kepada kerajaan supaya mempercepatkan pembaikan jambatan gantung Kg. Nelayan Sibuga Sandakan yang usang kerana ia membahayakan keselamatan terutamanya pelajar sekolah yang menggunakan laluan itu.
Menurut penduduk kampung jambatan itu adalah laluan para pelajar di Kampung Nelayan Tengah, Sandakan untuk ke sekolah.
Terdahulu, gambar pelajar Sekolah Kebangsaan Sibuga Besar, Sandakan yang melalui jambatan gantung usang yang dimuat naik oleh Bernama tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi dari netizen.
Rata-rata netizen meluahkan rasa marah dan sedih kerana jalan dan infrastruktur di Sabah masih lagi dalam keadaan yang menyedihkan walaupun sudah masuk tahun 2022.
“Kat (di) Sandakan sana negara lain-lain ke? Kenapa infrastruktur macam jambatan tidak dibina? Kesian penduduk di sana, hasil minyak dan hasil lain di Sabah banyak tapi keadaan infrastruktur masih lagi tidak disediakan. Sudah tahun 2022.
“Tahun 2022 masih ada yang lalui jalan sebegini? Merdeka berpuluh tahun tapi kemudahan membantutkan proses menimba ilmu. Ya Allah, apalah kerajaan buat. Sedih.
‘Skybridge, Skytrain dan flyover bukan penanda aras pembangunan. Keutamaan perlu diberikan untuk memperbaiki kemudahan asas seperti jalan raya, jambatan dan pengangkutan. Rakyat Sabah tidak perlu mengorbankan keselamatan masing-masing untuk menuntut ilmu. We deserve better,” kata netizen melalui Twitter.
Manakala ada juga netizen yang mengkritik wakil rakyat kawasan itu dan meminta pihak berwajib untuk segera menyelenggara jambatan usang tersebut.
“Kanak-kanak sekolah terpaksa melalui jambatan gantung yang usang kerana wakil rakyat tak (tidak) jalankan tanggungjawab dengan baik. Justeru, kebajikan penduduk terabai.
“Mohon kerajaan mempercepatkan pembaikan jambatan gantung itu agar tidak membahayakan keselamatan pelajar yang menggunakan laluan itu setiap hari ke sekolah,” kata netizen.
Sementara itu dalam laporan Berita Harian hari ini, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, beliau telah mengarahkan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk membaiki segera jambatan gantung usang itu.
"Saya sudah mengarahkan pihak MPS untuk mengambil tindakan segera terhadap perkara ini. Kerajaan amat mengambil berat perkara seumpama ini, lebih-lebih lagi yang membabitkan keselamatan murid dan pelajar sekolah," katanya.
Bung Moktar berkata demikian sebagai mengulas gambar memaparkan seorang murid sedang melalui jambatan gantung usang di Kampung Nelayan Tengah, Sandakan pada hari pertama sesi persekolahan penggal tiga 2021 / 2022, semalam.
Gambar yang dirakam jurugambar Bernama itu menunjukkan keadaan jambatan gantung terbabit yang usang dengan bahagian lantainya sudah hilang, manakala sebahagian jaring besi turut berlubang.
Comments