• Wartawan Nabalu News

Kerajaan diminta selesaikan isu tanah adat, kemudahan asas



4 Feb 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Penduduk Kampung Bangkahak Mukim Rosok dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk menyuarakan kebimbangan status tanah yang mereka duduki termasuk dalam kawasan hijau Angkatan Tentera Malaysia.


Mereka ingin membangunkan kawasan Pusat Rekreasi Pelacongan di kampung itu namun mereka mendakwa, tiada sesiapa yang sudi membantu.


Penduduk kampung juga mendakwa, mereka telah mengemukakan perkara itu kepada wakil rakyat DUN Tempasuk tetapi sehingga kini tiada maklum balas positif.


Isu itu dikemukakan para peserta yang menyertai Retreat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kota Belud baru-baru.


Ketua Penerangan Majlis Pimpinan PKR Sabah Chrisnadia Sinam berkata semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) dulu, bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail yang melawat kampung tersebut pernah menyarankan agar dokumen berkenaan dilengkapkan dan Pihak Tentera diminta memberi pertimbangan wajar.


“Selain itu mereka juga meminta agar kerajaan turut meneliti rumah-rumah kampung yang berada di dalam kawasan tanah rizab Burung. Kampung itu perlu dikeluar dan diwartakan sebagai Tanah Kampung,” katanya.


Sementara itu Ketua Cabang Keadilan Kota Belud Mustapha Sakmud berkata, mekanisma yang dilaksanakan oleh Taman-Taman Sabah dan Lembaga Tabung Getah Sabah boleh dipertimbangkan dengan memberi kebenaran kepada penduduk kampung untuk mengusahakan tanah-tanah tersebut atau mengeluarkan daripada kawasan tanah rizab serta diwartakan.


“Saya juga menyeru agar Ketua Menteri memberi perhatian kepada pertikaian tanah adat kawasan Rizab Terenakan di Kuala Pintasan yang semakin kritikal di antara penduduk kampung dan sebuah syarikat.


“Penyelesaian terbaik perlu disegerakan agar kedua-dua pihak berdamai dan bersepakat,” katanya.


Mengenai kemudahan asas seperti jalan raya dan elektrik di pusat-pusat rekreasi pelancongan luar bandar khususnya di Kota Belud dan Tuaran, Mustapha berkata masih terdapat pusat rekreasi yang tidak mempunyai bekalan elektrik dan bergantung kepada alat janakuasa elektrik.


“Saya berharap pihak kerajaan dapat memberi perhatian terhadap isu-isu ini kerana ia akan menjejaskan perkembangan pelancongan luar bandar berasaskan komuniti yang menjadi antara tumpuan khusus Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.