• Wartawan Nabalu News

Kerajaan diminta selesaikan segera masalah air di UCA2 Sepanggar



20 November 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Azis Jamman meminta agar kerajaan mengambil tindakan segera menyelesaikan masalah bekalan air khususnya kawasan Sepanggar.


Beliau juga meminta pihak kerajaan menyediakan peruntukan bagi membolehkan tangki air dihantar ke kawasan taman perumahan atau mana-mana kawasan yang menghadapi masalah kritikal bagi memudahkan penduduk mendapatkan air.


“Contohnya di perumahan ini (UCA2), oleh kerana tiada air paip, maka kerajaan perlu membantu hantar lori-lori tangki ke sini bagi memastikan bekalan air di tangki utama sentiasa ada.



“Saya berharap Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dapat membantu menghantar air ke kawasan ini, bagi memastikan bekalan air tidak putus,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perjumpaan bersama pihak pengurusan dan wakil-wakil penghuni Taman Perumahan University Condo Apartment 2 (UCA2), Menggatal, dekat sini, hari ini.


Bagi menyelesaikan masalah air di kawasan itu, Azis menghadiri dan mengadakan perbincangan bersama pihak pengurusan UCA2 Jackson Banus Tuzan dan wakil penghuni.



Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Inanam Peto Galim dan Setiausaha Perhubungan Awam Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Romeo Ansow.


Dalam perbincangan itu beberapa langkah akan diambil dan dipersetujui pihak pengurusan dan penghuni UCA2, antaranya pihak pengurusan akan berhubung dengan Jabatan Air Negeri Sabah untuk memastikan bekalan air dapat dihantar secara berterusan ke kawasan itu.


Azis berkata, sebagai penyelesaian jangka pendek, pihak pengurusan bersetuju menghantar 20 tangki air untuk kegunaan penghuni UCA2.


“Saya memahami masalah dan tekanan yang dihadapi penduduk sini kerana air adalah keperluan asas … saya lebih rela hidup tanpa elektrik daripada langsung tiada air. Sebab itu kerajaan atau pihak pengurusan perlu memainkan peranan secara proaktif meringankan bebanan penghuni UCA2,” katanya.


Beliau mengakui antara punca kawasan Sepanggar sering mengalami gangguan bekalan air disebabkan Loji Air Telibong 1 tidak lagi dapat menampung keperluan air di kawasan Sepanggar dan Tuaran.


“Itu sebabnya Loji Air Telibong 2 dibina dan sekarang dalam proses pembinaan. Bagaimanapun saya berharap kerajaan dapat mengambil inisiatif membantu penduduk.


"Bukannya tidak ada air … air boleh dibeli. Kalau ada inisiatif kerajaan untuk menghantar air secara berkala ke taman-taman perumahan yang menghadapi masalah, saya yakin masalah ini dapat diselesaikan,” katanya.