Kerajaan harus segera laksanakan Akta Kerja 1955 (Pindaan) – Syed Saddiq
28 Ogos 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 yang ditangguhkan ke 1 Januari tahun depan patut dilaksanakan dengan segera, kata Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq.
Jelas Syed Saddiq, tindakan itu menunjukkan kerajaan seolah-olah tidak mengambil berat akan kebajikan pekerja.
“Akta Kerja (pindaan) dah lulus Mac lepas, tetapi menteri umum untuk tangguh semalam (Jumaat).
“Empat bulan dia tangguh pindaan yang sepatutnya sudah boleh dikuatkuasakan segera. Kenapa seolah-olahnya tidak kisah dengan kebajikan golongan pekerja?
“Saya pasti ramai yang ternanti-nanti penguatkuasaan Akta Kerja (Pindaan) yang sepatutnya bermula pada 1 September ini, hanya lebih kurang seminggu sahaja lagi. Tapi itulah, menteri dah umum untuk tangguh ke tahun hadapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Baru- baru ini, penguatkuasaan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 yang dijadualkan bermula pada 1 September ini ditangguhkan ke 1 Januari tahun depan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan pada Jumaat berkata, penangguhan itu telah diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri selepas pihak industri dan majikan sebulat suara memohon penangguhan atas beberapa faktor.
Sementara itu, Syed Saddiq juga mempersoalkan alasan penangguhan yang mana pihak industri memerlukan lebih masa untuk melaksanakan akta tersebut.
“Persoalan saya kenapa ? Ini kerana, akta ini telah pun diluluskan pada Mac. Cuba kalau akta ini dapat memberikan menfaat kepada menteri atau ahli politik yang lain?
“Pasti hari ini lulus, esok dah kuatkuasakan! Jangan cari alasan, tapi segeralah laksanakan!” tegas beliau.
Comments