Kerajaan henti pendaftaran kenderaan NGV mulai Julai, sedia bantuan peralihan untuk pemilik
4 November 2024
KUALA LUMPUR: Mulai 1 Julai tahun depan, kerajaan tidak akan lagi membenarkan pendaftaran kenderaan bermotor yang menggunakan bahan api gas asli mampat (NGV) sebagai langkah keselamatan bagi pengguna dan orang awam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menjelaskan keputusan ini dibuat setelah PETRONAS mula menamatkan bekalan runcit NGV secara berperingkat sejak Oktober lalu.
“Tangki-tangki NGV mempunyai had tempoh penggunaan selamat sekitar 15 tahun. Sekiranya tidak diganti, ia boleh gagal berfungsi dan mendatangkan bahaya seperti kecederaan, kematian, dan kerosakan harta benda yang dahsyat.
“Terdapat juga pengguna yang membuat ubah suai kenderaan menggunakan silinder gas memasak (LPG), yang amat berbahaya dan berisiko menyebabkan kemalangan serta letupan,” katanya pada sesi pengumuman Dasar Penggunaan Kenderaan NGV di Stesen Petronas Jalan Cochrane Perkasa, di sini.
Loke turut mengumumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan tiga pakej bantuan untuk membantu pemilik kenderaan NGV beralih selepas penamatan penggunaan bahan api tersebut, termasuk bantuan one-off RM3,000 dalam bentuk e-baucar melalui aplikasi Setel untuk pemandu teksi NGV yang layak.
Pakej kedua melibatkan bantuan untuk menanggalkan kit NGV, khususnya tangki NGV, daripada kenderaan yang telah diubah suai (dwi-bahan api), dan kos ini akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan di bengkel berdaftar.
Bagi pakej ketiga, pemilik kenderaan NGV tunggal akan menerima bantuan peralihan berdasarkan nilai semasa kenderaan, yang akan dinilai oleh wakil penilai bebas.
Bantuan ini bertujuan mengurangkan beban pemilik yang terkesan dengan dasar baharu ini. Setakat ini, lebih 40,000 kenderaan NGV berdaftar aktif di Malaysia.
Comments