top of page

Kerajaan kaji penubuhan Majlis Hukuman untuk teliti hukuman jenayah

  • Wartawan Nabalu News
  • Jul 11, 2023
  • 1 min read

11 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji untuk menubuhkan Majlis Hukuman yang akan meneliti semua hukuman kesalahan jenayah, termasuk yang berkaitan dengan dadah, dalam perundangan negara.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata majlis tersebut bertujuan untuk menyediakan garis panduan dan pengurangan hukuman penjara serta menggalakkan hukuman rehabilitasi dan restorative.


Beliau berkata ini sejajar dengan keutamaan hak asasi manusia kerajaan dalam menangani isu kesesakan di penjara dan risiko yang dihadapi oleh banduan.


"Budi bicara kehakiman adalah sangat penting dalam menangani penjenayah dadah berasingan daripada penagih dadah, dan bagi penagih dadah, perlakuan secara individu seperti sama ada individu tersebut adalah pengguna pertama, dan lain-lain perlu diambil kira.


"Budi bicara kehakiman juga penting dalam memperkenalkan pilihan rehabilitasi bukannya hukuman yang menekankan hukuman semata-mata," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Azalina turut menyatakan bahawa Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) sedang menilai kaedah untuk meminda Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 bagi menggalakkan rehabilitasi berasaskan komuniti.


"Ia bagi menggalakkan rehabilitasi berasaskan komuniti, dan bukan penjara bagi pesalah yang dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan ke bawah terutama bagi pesalah kali pertama. Ini termasuk kesalahan dadah kecil yang menyumbang 63 peratus daripada banduan di Malaysia," katanya.


Dalam pada itu, beliau berharap dapat membentangkan hasil usaha-usaha ini melalui kertas Kabinet secara bersama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi persidangan Parlimen pada penghujung 2023 nanti.



 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page