• Farah Salim

Kerajaan kemuka usul ungkai tujuh Ordinan Darurat di Dewan Rakyat


25 Okt 2021

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini telah mengemukakan usul bagi mengungkai Ordinan-Ordinan Darurat untuk dibahaskan oleh Ahli Parlimen dan digulung oleh kementerian yang berkaitan di Dewan Rakyat.


Usul itu merangkumi tujuh ordinan yang merangkumi Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021; Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2021 dan Ordinan 2021 Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2), Ordinan Darurat (Kuasa Perlu) (Pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 2021; dan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika mengemukakan usul itu berkata, Proklamasi Darurat dan apa-apa peraturan yang diumumkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan harus dibentangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.


Tambahnya, kerajaan akan memastikan pemansuhan tujuh ordinan ini tidak menjejaskan pengendalian ancaman pandemik Covid-19 demi kesejahteraan rakyat, keselamatan dan ketenteraman awam serta pemulihan ekonomi negara.


“Mekanisme Pengurusan Darurat diwujudkan bagi memantau pelaksanaan dan pengurusan darurat di negara ini melalui tiga platform.


“Platform terbabit ialah Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara, Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat dan Kumpulan-kumpulan Kerja Pengurusan Darurat,” katanya.


Wan Junaidi turut menyatakan bahawa dengan terbatalnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos lalu, semua arahan yang dikeluarkan bawah Seksyen 3, 4, 6 dan 8 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 turut berhenti berkuat kuasa.


Jelasnya, pengungkaian Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 menjadikan nilai penalti dan nilai kompaun akan turun kepada nilai sedia ada.


“Beberapa peruntukan penting dimasukkan dalam Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 seperti pemakaian peranti pengesanan.


“Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mengemukakan peraturan yang mempunyai pindaan berbangkit akibat pengungkaian itu, kepada Jabatan Peguam Negara pada 8 Oktober lalu dan akan berkuat kuasa pada hari sama dengan pengungkaian ordinan berkenaan.


“Selain itu, Rang Undang-Undang (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 disasar dibentangkan di Parlimen pada Disember depan.


“Secara dasar, pengungkaian kedua-dua Ordinan Darurat berkenaan tidak akan menjejaskan penyampaian perkhidmatan kesihatan KKM,” katanya.


Menurut Menteri itu lagi, pembatalan Ordinan Darurat (No. 2) 2021 tidak menghalang kes kesalahan yang sedang dalam siasatan dan prosiding mahkamah bawah ordinan itu untuk diteruskan walaupun selepas ia dibatalkan, dengan syarat kesalahan terbabit berlaku ketika ordinan berkenaan masih berkuat kuasa.


Mengulas lanjut, bagi Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021, beliau berkata walaupun ia diungkaikan, pindaan kekal melalui rang undang-undang pindaan kepada Akta 339 sudah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 Oktober lalu.