Kerajaan komited selesaikan masalah doktor kontrak dalam masa tiga tahun - Anwar

30 Mac 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa isu doktor kontrak yang berlarutan sejak sekian lama akan diselesaikan dalam tempoh tiga tahun.
Jelas beliau, isu tersebut perlu penyelesaian dalam masa terdekat dan kerajaan sedia ada tidak boleh dibebankan dengan masalah itu lagi kerana berlarutan sejak sekian lama.
Beliau berkata, kerajaan tidak mampu untuk melantik semua 4,000 pegawai perubatan kontrak yang menuntut lantikan tetap sekaligus kerana ia memerlukan peruntukan sebanyak RM10 bilion setahun.
“Sebab itu, saya bagi jaminan, tahun ini 1,500 (lantikan). Tahun depan atau berikutnya, katakan dalam tempoh tiga tahun, kita boleh selesaikan masalah ini,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara semalam.
Tambah beliau, Kementerian Kesihatan menerima peruntukan kedua terbesar dalam Belanjawan 2023, iaitu RM36.3 bilion termasuk peruntukan RM3 bilion setahun untuk lantikan baharu secara tetap dan kontrak bagi lebih 1,500 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi.
Beliau juga berkata bahawa kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada pengisian jawatan perkhidmatan awam dalam sektor kritikal, terutama bidang kesihatan dan pendidikan.
“Ini dijangka membabitkan perbelanjaan tambahan sehingga RM800 juta untuk 2023, yang mampu dan boleh kita tampung untuk satu tahun,” katanya.
Isu doktor kontrak telah menimbulkan kebimbangan dan kemarahan di kalangan pegawai perubatan yang merasakan mereka tidak diberi pengiktirafan dan peluang yang saksama dengan rakan sejawat mereka yang dilantik secara tetap.
Pada November 2021, Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa seramai 4,186 daripada 10,583 pegawai perubatan kontrak yang sudah tamat perkhidmatan wajib dengan Kementerian Kesihatan (KKM) ketika itu, sudah dinilai dan diperakui untuk lantikan tetap oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Daripada jumlah itu, sebanyak 3,586 membabitkan lantikan pegawai perubatan dan masing-masing 300 pegawai pergigian serta pegawai farmasi.
Commenti