top of page

Kerajaan Negeri bangunkan Pemetaan Budaya Etnik 2026–2030

  • nabalunews
  • Apr 26
  • 2 min read

26 April 2026


TUARAN: Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha memperkasa warisan dan budaya Sabah melalui pembangunan Pemetaan Budaya Etnik bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang dijangka bermula tahun ini.


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, inisiatif lima tahun itu bertujuan memastikan kepelbagaian etnik dan budaya di negeri ini didokumentasikan secara sistematik, bukan sahaja sebagai rujukan generasi kini dan akan datang, malah untuk manfaat pelancong.


Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Sodop Unduk Ngadau dan Pertandingan Akhir Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) Peringkat Daerah Tuaran di Shangri-La Rasa Ria, di sini malam tadi.


Teks ucapan beliau dibacakan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.


Dalam pada itu, Hajiji berkata, Majlis Sodop Unduk Ngadau sempena Pesta Kaamatan bukan sekadar acara memperagakan busana tradisional, tetapi turut berperanan memperkenalkan serta mengangkat keindahan dan keunikan warisan budaya suku kaum Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR) kepada generasi masa kini.


Beliau turut mengalu-alukan inisiatif jawatankuasa penganjur memperkenalkan pertandingan RTK sebagai platform bagi generasi muda menonjolkan keperibadian, bakat serta semangat kepimpinan.


“Pertandingan ini amat signifikan kerana bukan sahaja mengetengahkan potensi anak muda di daerah ini, malah menjadi wadah melahirkan generasi berkeyakinan, berwibawa dan mampu menjadi pemimpin masa depan yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negeri,” katanya.


Menurutnya, Pesta Kaamatan merupakan warisan budaya yang amat berharga kepada rakyat Sabah kerana bukan sahaja mencerminkan sejarah dan tradisi masyarakat KDMR, tetapi juga menjadi simbol kesyukuran, perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.


Sehubungan itu, beliau berkata Pesta Kaamatan perlu dijadikan medan untuk kita semua bersatu dalam kepelbagaian bagi mewujudkan kehidupan yang aman, harmoni dan sejahtera,” katanya.


“Tema Pesta Kaamatan tahun ini, “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”, membawa makna mendalam yang bukan sekadar melambangkan rezeki dan kesyukuran, tetapi juga simbol kebersamaan masyarakat dalam meraikan nilai perpaduan dan saling menghormati.


“Semangat inilah yang perlu terus kita pelihara agar warisan budaya ini bukan sahaja kekal hidup, tetapi terus menjadi jambatan yang mengeratkan hubungan antara semua kaum dan lapisan masyarakat di negeri ini,” katanya.


Hajiji turut menekankan agar sambutan Kaamatan terus dijadikan platform mempromosikan kekayaan warisan budaya, produk pelancongan termasuk hasil pertanian Sabah.


Beliau juga berharap minat terhadap warisan budaya negeri ini dapat dikekalkan dan diwarisi oleh generasi akan datang agar tidak hilang ditelan zaman.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page