Kerajaan Negeri kaji syor penubuhan Tribunal Tanah, tapi belum ada keperluan sidang khas MA63
8 Disember 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan mengkaji secara terperinci mengenai penubuhan Tribunal Tanah sebelum memutuskan keperluan penubuhannya di masa akan datang, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
“Native Customary Rights (NCR) ini memang pun diiktiraf oleh Kerajaan, tetapi mekanisma untuk selesaikan tuntutan NCR ini adalah di bawah Ordinan Tanah.
“Jadi kerana itu, mengenai dengan cadangan tubuhkan Tribunal Tanah itu, kita akan kaji sedalam-dalamnya sebelum kita memutuskan sama ada kita akan menubuhkan Tribunal Tanah ini di masa akan datang,” katanya semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.
Ewon bertanya mengenai syor penubuhan Tribunal Tanah semasa ucapan penggulungan Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Abdidin Madingkir ketika Persidangan DUN Sabah, hari ini.
Menurut ADUN Kadamaian itu, Tribunal Tanah perlu ditubuhkan kerana kes tuntutan NCR biasanya kalah di Mahkamah Rayuan kerana hakim-hakimnya mungkin tidak memahami latar belakang kenaknegerian dan NCR memandangkan mereka bukan berasal dari Sabah dan Sarawak.
“Cabaran kita mengenai tuntunan ini sebahagiannya adalah kebanyakkannya kita menang di Mahkamah Tinggi …tetapi selalunya kalah di Mahkamah Rayuan. Itu sebabnya penting (untuk menubuhkan Tribunal Tanah). Saya menyokong syor yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat ADUN Kepayan (Jannie Lasimbang) agar ada keperluan untuk kita mewujudkan Tribunal Tanah.
“Sebahagian ini telah kita kemukakan kepada Yang Berhotmat Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), syor sebahagian dariapda agenda reformasi bagi membela masyarakat Anak Negeri,” jelasnya.
Ewon juga berpendapat bahawa perkara berhubung NCR ini perlu diselesaikan sebelum pihak kerajaan memuktamadkan Nature Conservation Agreement (NCA) yang pada dasarnya telah ditandatangani pada bula Oktober lepas.
“Selagi ini tidak dimuktamadkan, saya fikir untuk kerajaan menandatangani satu perjanjian jangka masa [anjang itu akan menepikan hak masyarakat atau komuniti Anak Negeri dalam hal tuntutan.
“Mudah-mudahan dalam masa terdekat ini dapat dibincagkan semula Tribunal Tanah itu (kerana) ada keperluannya bagi saya dan sebahagian kita yangg mewakili suara Anak Negeri,” jelasnya.
Sementara itu, Ewon juga bertanya samada Kerajaan Negeri bersetuju agar satu sidang khas DUN diadakan bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan MA63.
Namun, Hajiji berpendapat bahawa tidak ada keperluan untuk mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Dewan Negeri buat masa ini.
“Sekarang ini di Parlimen sudah dibentangkan pindaan Perlembagaan Malaysia mengenai isu yang juga berkaitan dengan MA63 jadi pada pendapat saya, buat masa ini, tidak ada keperluan untuk mengadakan sidang khas di Dewan Negeri.
“Kita berharap Ahli-Ahli Parlimen kita dari Sabah akan membahaskan perkara ini apabila di Parlimen nanti,” katanya.
Hozzászólások