nabalunews
Kerajaan negeri komited bina rumah mesra SMJ di Karanaan
19 Ogos 2024
RANAU: Kerajaan negeri Sabah terus komited dalam membantu golongan yang memerlukan di kawasan Karanaan dengan membina 20 unit rumah mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) setiap tahun, khusus untuk mangsa bencana alam dan golongan miskin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun, menyatakan bahawa inisiatif perumahan yang diperkenalkan pada tahun 2022 ini bertujuan untuk meringankan beban mereka yang terkesan, dengan setiap rumah bernilai RM80,000 dibina secara percuma.
“Inisiatif ini menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat khususnya mereka yang dilanda bencana alam dan golongan miskin,” ujar Masidi semasa majlis penyerahan kunci rumah SMJ kepada 23 penerima di Kampung Pahu, Ranau.
Menurutnya lagi, sejak program perumahan ini dilancarkan dua tahun lalu, sebanyak 35 unit rumah mesra SMJ telah siap dibina di kawasan Karanaan.
Beliau juga berharap kesemua 60 unit rumah yang telah diluluskan sehingga tahun ini dapat disiapkan mengikut jadual dan diserahkan kepada penerima.
Selain itu, Masidi yang juga Menteri Kewangan negeri, turut melancarkan projek menaik taraf jalan sepanjang enam kilometer yang menghubungkan Kampung Mohimboyon-Lipantai-Pahu di Ranau.
Projek ini, yang bermula pada 25 Mac, merangkumi pembinaan jambatan baharu, pembangunan sistem perparitan, dan perlindungan cerun.
Comments