• Wartawan Nabalu News

Kerajaan Negeri perlu mulakan proses "Decentralization of Federal Power" bidang kesihatan di Sabah


22 Sept 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menyatakan Kerajaan Negeri perlu memulakan proses "decentralization of federal power" dalam bidang kesihatan di Sabah.


Menurut beliau, sudah tiba masanya Kerajaan Negeri memperkasakan bidang kuasanya dalam bidang kesihatan agar dapat memberi respon dan membuat keputusan yang cepat bagi menghadapi pandemik dan seterusnya endemik Covid-19.


"Saya telah mengemukakan Usul Khas kepada Dewan Undangan Negeri agar kita membuat ketetapan cadangan enakmen baharu berkaitan pengawalan penyakit berjangkit, kuasa berkenaan Standard Operating Procedure (SOP) dan program kesihatan awam rakyat Sabah.


"Saya maklum usul ini ditolak kerana Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 telah dibuat di peringkat Kerajaan Persekutuan dan pindaan ke atas Ordinan Kesihatan Awam 1960 Sabah yang dibuat pada tahun 1971 dan 1975 telah menyerahkan kuasa negeri kepada Menteri dan Ketua Pengarah Kesihatan Persekutuan.


"Kita semua yang diberi mandat duduk di Dewan ini berjuang menuntut pelaksanaan tuntas Perjanjian Malaysia 1963 dan hak-hak kita dalam Perlembagaan Persekutuan. Justeru, bukankah sepatutnya kita menuntut decentralization of federal power?" katanya.


Ewon menyatakan, agak janggal apabila mengatakan pemimpin Sabah berjuang menuntut hak dalam perlembagaan tetapi tidak memulakan proses "decentralization of federal power" bagi Sabah.


"Jika tidak dengan mewarta enakmen baharu, kita boleh meminda Ordinan Kesihatan Awam Sabah tersebut untuk mengembalikan semula kuasa kita dan memperluaskan cakupan perundangan berkaitan dengan kawalan penyakit berjangkit. Bidang kesihatan merupakan Senarai Bersama di dalam Perlembagaan Persekutuan, justeru tiada salahnya kita menyediakan ordinan kita sendiri bagi melengkapkan akta yang ada di peringkat persekutuan.


"Kita tidak mahu melihat Ketua Menteri membuat pengumuman tetapi Kerajaan Persekutuan tidak memperakukannya dalam warta atau mengambil masa berminggu-minggu untuk mewartakan arahan Ketua Menteri tersebut," katanya lagi.


Ewon menyatakan demikan di sidang Dewan Undangan Negeri yang berlangsung hari ini.