• Wartawan Nabalu News

Kerajaan Negeri perlu tegas wakili aspirasi rakyat Sabah, bukan aspirasi Ibu Pejabat Parti di KL


22 Sept 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menggesa Kerajaan Negeri yang ada hari ini agar menunjukkan kepimpinan yang lebih tegas dalam menuntut pelaksanaan Perjanjian Malaysia dan hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.


"Kerajaan Negeri hari ini perlu menunjukkan kepimpinan yang lebih tegas mewakili aspirasi rakyat Sabah dan bukan aspirasi ibu pejabat parti mereka yang terletak di Kuala Lumpur," katanya.


Beliau mengambil contoh tindakan Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan PAS yang tidak mengundi menyokong Pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan pada bulan April 2019 yang bertujuan mengembalikan semula status asal Sabah dan Sarawak.


"Saya perlu merekodkan dalam Dewan bahawa Perdana Menteri sekarang ini tidak menyokong semangat Perjanjian Malaysia dengan tidak mengundi menyokong pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan pada tahun 2019. Itulah yang berlaku jika kepentingan parti melebihi kepentingan rakyat," katanya.


Pindaan ke atas Perkara 1 (2) tersebut dibentangkan di Dewan Rakyat pada April 2019 tetapi gagal mendapat majoriti apabila Ahli-Ahli Parlimen daripada parti UMNO, PAS dan GPS tidak menyokong, termasuk Perdana Menteri hari ini, Datuk Ismail Sabri.


Manakala, Dewan Undangan Negeri Sabah pula menyokong sebulat suara agar pindaan tersebut diluluskan semasa sidang DUN pada bulan yang sama.


"Justeru, kita boleh membentangkan semula Usul Khas di Dewan ini mendesak agar pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan tersebut dibentangkan semula di Dewan Rakyat.


"Mudah-mudahan Yang Berhormat Lamag, Datuk Bung Moktar Radin selaku Timbalan Ketua Menteri kini akan menyokong pindaan ini bermula di Dewan Undangan Negeri dan seterusnya di Dewan Rakyat," kata Ewon.


Sebagai rekod, Bung yang juga merupakan Ahli Parlimen Kinabatangan merupakan Ahli Parlimen UMNO dan tidak menyokong pindaan Perkara 1 (2) tersebut pada tahun 2019.


Ewon yang juga merupakan Naib Presiden UPKO turut menyatakan bahawa Dewan Undangan Negeri Sabah perlu diperkasakan dan digunakan sepenuhnya sesuai dengan aspirasi rakyat Sabah.


"Dalam politik negeri, kita mungkin berbeza parti, tetapi dalam soal menuntut pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan, kita perlu menjadi satu keluarga Sabah yang bersatu hati, tenaga, fikiran, semangat juang dan kerjasama," katanya.


Ewon menyatakan demikian hari ini dalam ucapan perbahasan beliau ke atas ucapan dasar Kerajaan yang disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah.