top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Kerajaan negeri pertimbang cadangan Adun Moyog tolak TSA 2012


Gambar Hiasan

24 Sept 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengambil maklum dan akan mempertimbangkan cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Moyog Datuk Darell Leiking untuk menolak Akta Laut Wilayah (TSA) 2012.


Ketua Menteri Datuk Hajiji Haji Noor berkata, ini kerana niat Adun Moyog mencadangkan perkara itu adalah sesuatu yang baik untuk Sabah.


“Apa yang beliau (Darell) katakan adalah sesuatu yang baik dan kita akan pertimbangkan.



“Saya akan ambil perhatian dan maklum mengenai cadangan Adun Moyog dan kita akan kaji perkara itu.


“Kita akan ambil maklum cadangan-cadangan yang telah dikemukakan terutamanya berkaitan dengan hak-hak Sabah,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Adun Moyog, pada persidangan dewan undangan negeri, pada Rabu.


Darell bertanya sama ada Ketua Menteri bersetuju bahawa, bagi memulakan pemulihan ekonomi, adalah untuk mengambil balik hak Sabah berkenaan benua yang ditadbir diatas undang-undang yang belum diterima dan ditolak di Sabah iaitu Akta Laut Wilayah 2012.



“Kalau kerajaan setuju, saya percaya pembangkang pun akan menolak akta itu untuk mengambil pentadbiran hak benua kita di perairan Sabah,” kata Darell.


Beliau berkata bagi memulihkan semula ekonomi negeri ini, Sabah sepatutnya mengambil alih hak benua.


“Bagaimana kita memulakan semula ekonomi kita jika marin atau pelantar benua dan perairan berada di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN)?” Kalau kita tidak mengambil alih hak benua kita dan mengawal sempadan, Sabah tidak dapat memulakan industry gas dan marin,” kata Darell.


Akta ini digubal pada tahun 2012 tetapi sehingga kini Sabah belum menolak, sementara Sarawak dan Kelantan sudah menolaknya.


Akta Laut Wilayah 2012 diluluskan pada April 2012 menghadkan sempadan laut atau perairan negeri-negeri kepada hanya tiga batu nautika (5.56km) dari pantai. Ini bermaksud milikan ke atas pelantar benua yang sebelum ini menjadi milikan negeri bertukar kepada kerajaan persekutuan.


Menurut Perlembagaan Malaysia, sekiranya mana-mana Akta Persekutuan yang melibatkan sempadan negeri dan pengurangan kuasa Negeri, akta tersebut memerlukan persetujuan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Majlis Raja-raja.




bottom of page