top of page
  • nabalunews

Kerajaan Negeri Sabah bersetuju tambah bilangan jemaah di masjid dan surau



17 September 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah bersetuju untuk menambah bilangan jemaah Solat Jumaat dan solat fardu di masjid dan surau serta aktiviti-aktiviti keagamaan yang lain dalam prosedur operasi standard (SOP) masjid dan surau yang terbaharu.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, perubahan SOP tersebut berkuatkuasa mulai 17 September ini.


“Jumlah jemaah yang dibenarkan bagi Solat Jumaat di Masjid Utama ialah 300 orang. Manakala jemaah di Masjid Kariah pula ialah 200 orang dan Solat Jumaat di surau iaitu 50 orang jemaah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurut Masidi, bagi Solat Fardhu pula bilangan jemaah yang dibenarkan hadir ke Masjid Utama ialah seramai 150 orang, manakala Masjid Kariah dan surau 50 orang.


“Bagaimanapun, keutamaan ke masjid hanya diberikan kepada jemaah yang telah lengkap dua dos vaksin,” katanya.


Antara aktiviti lain yang dibenarkan merangkumi kuliah Maghrib iaitu tempoh masa antara waktu maghrib dan isyak serta Solat Jenazah dengan bilangan jemaah seperti solat Jumaat dan solat lima waktu.


“Pengurusan jenazah turut dibenarkan dengan jumlah 20 orang, begitu juga dengan ziarah kubur iaitu sebanyak 20 orang dibenarkan.


“Bagi majlis akad nikah di masjid atau surau, bilangan orang yang dibenarkan di dewan atau bilik khas ialah hanya seramai 20 orang tertakluk keluasan dan kebenaran Jawatankuasa,” katanya.

bottom of page