top of page

Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha memperkasa budaya dan warisan bangsa

  • nabalunews
  • Jul 18, 2025
  • 2 min read

18 Julai 2025


TAWAU: Inisiatif Kerajaan Negeri memperkenalkan Anugerah Sastera Sabah dan Hadiah Sastera Negeri Sabah merupakan bukti sokongan kerajaan terhadap usaha memperkasa budaya dan warisan bangsa.


Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, anugerah tersebut adalah satu pengiktirafan tinggi kepada pencinta dan pejuang bahasa serta sastera kebangsaan.


"Anugerah sebegini hanya berlaku dalam pentadbiran kerajaan hari ini di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor,"katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Bahasa dan Sastera (BAHTERA) serta Forum Remaja Madani Peringkat Negeri Sabah di Dewan SJK(C) Yuk Chin, di sini, semalam.


Malah menurutnya, sejak 2021 hingga kini, Kerajaan Negeri memperuntukkan hampir RM1 bilion untuk memperkasa modal insan, termasuklah dalam sektor pendidikan demi manfaat generasi muda.


Menyentuh program itu, Nizam yang juga ADUN Apas berkata, penganjuran sesebuah program berstatus negeri di Tawau dilihat memberi impak positif kepada warga pendidikan dan pelajar daerah ini.


Katanya, program tersebut bukan hanya menghimpunkan bakat golongan remaja dalam bidang bahasa dan sastera tetapi berjaya mengangkat daerah ini yang sememangnya aktif melahirkan pelajar cemerlang di peringkat negeri serta kebangsaan.


Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah serta Jabatan Pendidikan Negeri Sabah yang memilih Tawau sebagai tuan rumah peringkat negeri bagi penganjuran program julung kalinya itu.


Beliau berharap program seumpama itu akan diperluaskan ke seluruh negeri sebagai usaha memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi dan budaya bangsa yang wajib dipertahankan sepanjang zaman.


Sementara itu, SMK Gadong Beaufort muncul johan Forum Remaja Madani sempena BAHTERA dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1, 000 serta sijil penyertaan, manakala, SMK Kuhara Tawau dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Tun Ahmadshah masing-masing di tempat kedua dan ketiga dengan hadiah RM700 dan RM500 beserta sijil.


 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page