top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Kerajaan negeri tidak bercadang beri IC kepada penerima vaksin PTI



23 Sept 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak bercadang untuk memberi kad pengenalan atau taraf kewarganegaraan kepada penerima vaksin yang terdiri daripada pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah.


Ketua Menteri Datuk Hajiji Haji Noor berkata, ini kerana kerajaan sentiasa memelihara hak, keselamatan dan kepentingan rakyat negeri ini.


“Mengenai isu cadangan pemberian kad pengenalan atau kewarganegaaan kepada penerima vaksin yang bukan warganegara, kerajaan negeri tidak bercadang memberi kad pengenalan atau kewarganegaraan kepada penerima vaksin di Sabah yang melibatkan pendatang tanpa izin.


“Bagaimanapun kerajaan negeri akan mempertimbangakan orang asal yang masih tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick yang bertanya berapakah jumlah bukan warganegara di Sabah yang telah diberi vaksin dan apa perancangan serta tindakan kerajaan negeri selepas mendapat data berkenaan. Adakah kerajaan negeri bersetuju dengan rancangan Kementerian Dalam Negeri mahu memberikan kad pengenalana atau kewarganegaran kepada pendatang asing atau mereka yang belum ada identiti diri di Sabah?



Soalan asal Adun Kadamaian yang bertanya berapa jumlah rakyat Sabah telah lengkap vaksin dan apa sebab program vaksinasi rakyat di Sabah antara yang terkebelakang di Malaysia serta langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan negeri untuk mengatasinya dijawab oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Shahelmey Yahya.


Bagaimanapun Shahelmey tidak dapat menjawab sepenuhnya soalan tambahan Ewon mengenai pendatang asing yang menerima vaksin.


Hajiji kemudiannya berdiri meminta laluan untuk memberikan jawapan.


Baru-baru ini Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said dipetik sebagai berkata, KDN akan mempertimbang untuk memberikan kad pengenalan diri atau kewarganegaraan kepada penerima vaksin di Sarawak dan Sabah, termasuk dalam kalangan orang asal yang masih belum memiliki identiti diri, jika memenuhi kelayakan.

Ismail Mohamed berkata, kementerian telah mewujudkan Jawatankuasa Khas Status Warganegara Peringkat Negeri Sarawak untuk meneliti urusan dokumentasi bagi individu yang tidak berdokumen berumur 21 tahun ke bawah di negeri itu.


Manakala bagi Sabah pula, ia dibincangkan dalam Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah.

bottom of page