top of page

Kerajaan Perlu RM392 Bilion Laksana RTB Di Kawasan Berisiko - Fadillah

  • nabalunews
  • Dec 6, 2024
  • 2 min read


6 Disember 2024


KUALA LUMPUR : Dianggarkan peruntukan sebanyak RM392 bilion diperlukan bagi melaksanakan 365 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di kawasan risiko banjir di seluruh negara bagi tempoh 2023 hingga 2100, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.


Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata jumlah itu dikenal pasti kementerian melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang telah menjalankan kajian mengikut lembangan sungai utama yang bertujuan menyediakan perancangan dan penyelesaian banjir secara menyeluruh.


Menurut beliau, secara realitinya, kemampuan kerajaan adalah terhad dan atas sebab itu, projek RTB dilaksanakan mengikut keutamaan negeri dan kawasan berdasarkan kajian terbabit.


“Maknanya, kalau nak belanjakan keseluruhan, satu tahun tidak ada bajet untuk semua kementerian (untuk) selesaikan masalah ini.


“Realitinya kemampuan kerajaan terhad, sebab itu kita laksana projek mengikut keutamaan negeri dan kawasan berdasarkan kajian terbabit,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis lapor Bernama.


Beliau menjawab soalan V. Ganabatirau (PH-Klang) yang ingin tahu tahap kepuasan kerajaan terhadap pembangunan infrastruktur tebatan banjir dan pelaburan yang berkaitan dengannya serta langkah yang sedang diambil untuk meningkatkan tahap persediaan dan kecekapan tindak balas negara dalam menghadapi banjir.


Berikutan itu, Fadillah berkata kementerian berpuas hati dengan projek yang telah dilaksanakan, contohnya projek terowong SMART di Kuala Lumpur yang telah siap sejak 2007 dengan perbelanjaan sebanyak RM1.97 bilion.


Beliau berkata sepanjang 17 tahun beroperasi, terowong itu telah diaktifkan lebih 600 kali untuk melencongkan banjir dan berjaya mengurangkan risiko banjir di pusat bandar dan berdasarkan kajian oleh JPS pada 2012, jumlah kerugian yang berjaya diselamatkan hasil pengaktifan lencongan itu bernilai lebih RM4.3 bilion.


Fadillah berkata JPS juga telah mengemas kini dan mengenal pasti sebanyak 4,619 lokasi hotspot banjir di seluruh negara dan tindakan awal telah diambil untuk melaksanakan kerja-kerja mitigasi, seperti penyelenggaraan sistem perparitan, pembaikan, retrofitting dan sebagainya.


Katanya JPS juga memastikan sistem amaran awal melibatkan 534 siren amaran banjir di sungai-sungai utama berfungsi dengan baik.


Sebagai persediaan tindak balas bencana banjir pula, beliau berkata setiap Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dan daerah diminta untuk melaksanakan koordinasi persediaan awal melalui mesyuarat, mengadakan simulasi dan latih amal bersepadu, persediaan pusat pemindahan sementara (PPS) dan pelaksanaan Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA).


“Bagi penyelarasan pascabanjir, ia meliputi bantuan awal pembersihan dan bantuan pascabencana kepada mangsa.


“Ia termasuk bantuan kewangan dan pembaikan segera kerosakan infrastruktur termasuk meningkatkan kerjasama antara Jawatankuasa Pengurusan Bencana setiap negeri dan daerah bersama pertubuhan bukan kerajaan dan sukarelawan berkaitan penyelarasan bantuan,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page