Kerajaan Perluas Fungsi NSRC Tangani Jenayah Siber
- nabalunews
- Jun 27, 2025
- 1 min read

27 Jun 2025
PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperkukuh fungsi dan peranan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) sebagai langkah tegas menangani jenayah siber yang semakin membimbangkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, skop fungsi NSRC diperluas merangkumi semua bentuk jenayah siber, selain mewujudkan rangkaian respons 24 jam yang digerakkan secara menyeluruh oleh pelbagai agensi kerajaan.
“Pengukuhan NSRC turut melibatkan gabungan kepakaran tempatan, penyelarasan rentas agensi serta pertambahan sumber manusia," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) semalam.
Anwar berkata, mesyuarat itu dimaklumkan negara merekodkan kerugian hampir RM4.7 bilion sejak 2022 akibat penipuan dalam talian dan menyifatkan ia satu angka yang membimbangkan serta menuntut tindakan tegas serta menyeluruh dilaksanakan.
Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyegerakan pelaksanaan struktur baharu NSRC termasuk memperjelas peranan pusat tersebut agar mudah difahami dan diakses oleh rakyat.
Selain itu, katanya pendekatan ‘no wrong door’ turut diguna pakai bagi memudahkan proses aduan dan bantuan kepada mangsa penipuan atau jenayah siber.
"Saya menggesa semua agensi untuk bertindak lebih proaktif dan berpandangan jauh dalam usaha memberikan perlindungan menyeluruh kepada rakyat.
“Pada masa sama, kesiapsiagaan benteng siber negara mesti terus diperkukuh, bukan sahaja di peringkat domestik malah menerusi kerjasama antarabangsa,” katanya.















Comments