top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan Perpaduan wajar diberi peluang memerintah negara: Pemuda UPKO

7 Disember 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Rakyat seharusnya dan wajar memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk memerintah dan membuktikan kesungguhan mereka memimpin negara, kata Ketua Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Felix Joseph Saang.


Beliau berkata, walaupun ada segelintir pihak tidak berpuas hati terutamanya dalam pelantikan barisan menteri kabinet namun ia tidak seharusnya dijadikan isu untuk menghukum kerajaan baharu sebelum mereka membuktikan keupayaan mentadbir negara.


“Kita faham ramai yang tertanya-tanya dan tidak bersetuju dengan beberapa lantikan Kabinet tetapi rakyat harus sedar, kerajaan hari ini yang dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan bukannya Kerajaan Pakatan Harapan.


“Tanpa gabungan parti-parti politik, Kerajaan Perpaduan tidak akan terbentuk dan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tidak akan diangkat sebagai Perdana Menteri yang ke-10,” katanya.


Felix berkata, Kerajaan Perpaduan ini juga merupakan titah saranan Yang di-Pertuan Agong demi kestabilan politik dan pemulihan ekonomi negara. Hasrat Yang di-Pertuan Agong perlu dihormati oleh semua pihak.


“Namun, Pemuda UPKO menegaskan mana-mana pemimpin yang mempunyai kes rasuah atau salah guna kuasa harus dihadapkan ke mahkamah. Institusi kehakiman negara mesti bebas tanpa campur tangan politik.


“Pemuda UPKO turut menuntut agar tawaran-tawaran PH harus dilaksanakan segera terutama sekali isu mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan juga isu menangani peningkatan kos sara hidup untuk mengurangkan beban rakyat,” katanya.


Selain itu katanya, ekonomi negara perlu dipulihkan secepat mungkin dan kebajikan rakyat perlu jadi keutamaan.


“Saya percaya apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini adalah antara langkah untuk membantu memulihkan ekonomi negara ini.


"Kita juga mahu agar keharmonian dan keamanan negara sentiasa terjamin dibawah Kerajaan Perpaduan. Kepelbagaian kaum dan agama seharusnya menjadi tunjang dan kekuatan negara," kata Felix.

Comentários


bottom of page