Kerajaan Persekutuan Bertekad Angkat Martabat Semua Negeri - PM
- nabalunews
- Sep 17, 2024
- 2 min read

17 September 2024
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan komited untuk mengangkat martabat setiap negeri, terutamanya kawasan pedalaman, terpencil, dan miskin bandar, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menyuarakan keyakinan bahawa matlamat ini dapat dicapai melalui permuafakatan, perbincangan, dan amalan kerja berpasukan yang erat antara pemimpin Persekutuan dan negeri-negeri, termasuk Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri menegaskan bahawa setiap negeri pasti menghadapi cabaran masing-masing, namun keluhan rakyat perlu diberi perhatian serius. Ini penting bagi memastikan keperluan penduduk, tanpa mengira lokasi, dapat dipenuhi secara menyeluruh dan berkesan.
“Kalau mahu Malaysia ini berjaya siapa sahaja jadi Perdana Menteri, siapa sahaja jadi Menteri, siapa sahaja jadi pemimpin, mesti memimpin seluruh rakyat dan bangsa Malaysia,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2024 Peringkat Kebangsaan di Padang Merdeka di sini semalam.
Sambutan itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri-menteri Kabinet Persekutuan dan negeri.
Hadir sama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2024 selain ketua-ketua jabatan kerajaan Persekutuan dan negeri.
Anwar turut memberi jaminan akan bertungkus lumus menjayakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bersama rakan pimpinan dan Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63).
“Walaupun saya akui ada masalah yang harus kita selesaikan tetapi saya bernasib baik kerana sebaik menjawat Perdana Menteri, dua sahabat saya menaruh keyakinan penuh (iaitu) Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak bermuafakat, bicara dengan terang, tegur dengan baik sebagai sahabat.
“(Mereka) mengeluh dan menuntut tetapi dalam semangat persahabatan untuk jayakan Malaysia, negara keramat kita. Saya harap pemimpin-pemimpin lain belajar daripada semangat yang mereka tunjukkan,” katanya.
Anwar turut menyeru seluruh rakyat agar menanam semangat jiwa merdeka dan terus bersatu hati dalam membangunkan Malaysia selain menjauhi sikap perkauman sempit serta kebencian antara satu sama lain.
Beliau mahu tema sambutan Hari Malaysia 2024 Peringkat Kebangsaan ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ difahami secara mendalam kerana ia bukan hanya menterjemahkan kebebasan daripada penjajah semata-mata tetapi juga dalam aspek memilih pemimpin yang mampu mentadbir negara dan membela nasib rakyat.
Perdana Menteri berkata semangat meraikan kejayaan Malaysia di pentas antarabangsa tanpa mengira bangsa, suku kaum dan agama wajar diterapkan dalam diri setiap masyarakat negara ini.
Anwar merujuk kejayaan atlet powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin, yang juga anak kelahiran Sarawak, menghadiahkan pingat emas kepada Malaysia di Sukan Paralimpik Paris 2024 dan atlet 100 meter lelaki T44 (kecacatan fizikal) Eddy Bernard dari Beluran, Sabah yang menyumbang pingat gangsa pada temasya sukan berprestij itu.
“Kita tak persoal dari mana dia, apa suku kaum dan agamanya, cuma kita bangga kerana anak Malaysia catat kebanggaan menang pingat di (Sukan Paralimpik) Paris. Inilah semangat yang kita nak. Hidupkan dalam kalangan kita,” katanya.
Comments