- Nur Syafiqah Abdullah
Kerajaan Persekutuan diminta lunas hutang tertunggak RM2.64 bilion kepada Sabah
26 Nov 2021
Oleh Nur Syafiqah Abdullah
KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) mendesak Kerajaan Persekutuan supaya melunaskan hutang tertunggak selama 22 tahun kepada Sabah yang berjumlah RM2.64 bilion tanpa perlu banyak berlengah.
Pengerusi Biro Kadazan Dusun Murut (KDM) Warisan, Matthew Yong berkata Kerajaan Persekutuan juga seharusnya membayar RM3 bilion termasuk kos sampingan kerana hutang ini sudah tertangguh sejak 22 tahun yang lepas.
“Pemansuhan Duti Import dan Duti Eksais pada tahun 1999 telah menyebabkan Sabah dan Sarawak kerugian kerana tidak lagi boleh, dari segi perundangan, mengenakan dua duti tersebut ke atas import produk petroleum.
“Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk membayar RM280 juta dibahagi sama rata antara Sabah dan Sarawak sebagai pampasan atas pemansuhan duti-duti tersebut.
“Bagaimanapun, ianya tidak pernah dilunaskan sehingga ditanya oleh Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin di Parlimen Rabu lalu di mana Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berjanji untuk meneliti tuntutan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurut Matthew, perkara ini sebenarnya telah didedahkan oleh Allahyarham Zainnal Ajamain pada 2018, bahawa ini merupakan satu bentuk perlanggaran Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ujarnya, Sabah dan Sarawak sepatutnya diberi status quo kerana pemansuhan dua duti tersebut selepas pindaan Akta Jualan 1972 diluluskan di Parlimen pada tahun 1999, tidak terpakai ke atas Sabah dan Sarawak berdasarkan MA63.
“Bayaran tambahan juga sepatutnya dikenakan ke atas Persekutuan kerana pampasan RM140 juta setahun itu agak kecil banding dengan kutipan tahunan Sabah RM200 juta hingga RM300 juta setahun, sebelum pemansuhan tersebut berkuat kuasa.
“Kerajaan Pusat dinasihatkan agar berhentilah memperbodohkan Sabah dan Sarawak selepas semua kekayaan kedua negeri ini disedut tapi hutang dibuat-buat lupa,” tegasnya.
Beliau juga menyatakan bahawa Kerajaan Pusat seharusnya lebih komited dalam menunaikan tanggungjawab mereka terhadap Sabah dan Sarawak.
“Bagaimana rakyat Sabah tidak marah dengan layanan seakan anak tiri ini?
“Jangan marahkan orang Sabah jika mereka memilih untuk keluar daripada Malaysia selepas apa yang Malaya telah lakukan selama 58 tahun dalam Malaysia.”
Kommentare