- Wartawan Nabalu News
KERAJAAN PERTIMBANG BERI SUNTIKAN FASA 1 KEPADA GURU-GURU

22 Feb 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan membuat pertimbangan secara teliti terhadap isu pemberian suntikan dalam Fasa 1 kepada guru-guru yang mempunyai komorbiditi kesihatan dan faktor-faktor risiko yang lain.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, ini selaras dengan pengumuman Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin pada 21 Februari lalu.
“Dalam perancangan awal Fasa 1 Program Vaksin Covid-19 hanya merangkumi petugas-petugas kesihatan barisan hadapan dari sektor kerajaan dan swasta.
“Selain itu para petugas perkhidmatan penting (essential) dan pertahanan seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Imigresen, juga termasuk dalam Fasa 1 Progam Vaksin Covid-19,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Baru-Baru ini, Khairy dilaporkan sebagai berkata, guru dan pengamal media adalah antara kumpulan yang dipertimbangkan bagi menerima vaksin pertama.
Khairy dipetik sebagai berkata, permohonan vaksin bagi guru adalah wajar memandangkan sekolah sudah mula dibuka pada Mac ini.