• Wartawan Nabalu News

KERAJAAN PN JANGAN ANGKUH, BUKA PARLIMEN SEGERA


Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

1 Julai 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diingatkan supaya tidak bersikap angkuh seperti mengetahui semua perkara dan perlu mengadakan persidangan Parlimen segera.


Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, melalui persidangan banyak dapat dibincang, diselesaikan dan seterusnya memberi manfaat kepada rakyat, terutamanya perkara berkaitan Ordinan-Ordinan Darurat Covid-19.


"Dunia dan negara kini berhadapan dengan pelbagai cabaran bukan sahaja dari segi masalah ekonomi yang tidak menentu malah kehilangan nyawa akibat Covid-19.


“Maka, kerajaan yang ada pada hari ini iaitu PN diingatkan supaya jangan bersikap angkuh seperti tahu semua perkara, perlu ambil iktibar walaupun sebenarnya masih lagi tidak pasti dengan banyak perkara," katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Shafie berkata, setelah lebih dua minggu dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja, kelmarin sekali lagi Agong menzahirkan dan menitahkan supaya persidangan Parlimen diadakan segera.


“Sekali lagi saya nyatakan bahawa titah Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen bersidang segera diambil perhatian oleh kerajaan Perikatan Nasional, khususnya pentadbiran Dewan Rakyat dan Dewan Negara," katanya.


Beliau berkata, ketika ini ramai rakyat hilang punca pendapatan, syarikat-syarikat tidak dapat meneruskan operasi dan terpaksa buang pekerja serta para peniaga kecil juga banyak gulung tikar.


“Banyak keluarga terputus bekalan makanan, anak-anak kecil tiada susu, ramai yang tidak dapat bekalan asas makanan untuk seisi keluarga, kesempitan hidup semakin parah dan lain-lain situasi yang tidak menyebelahi kebanyakan rakyat,” katanya.


Beliau bimbang jika situasi ini tidak diatasi segera, akan menyebabkan lebih banyak kemudaratan berbanding kebaikan.


“Malaysia yang mengamalkan pemerintahan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan ini perlu kita jaga, hormati dan pertahankan.


“Selaras dengan titah Tuanku yang mahu Persidangan Parlimen diadakan segera menunjukkan bahawa baginda Tuanku sangat prihatin dan memahami kesusahan yang dihadapi rakyat.


“Sudah tentu banyak perkara dapat dibincangkan, diselesaikan dan seterusnya memberi manfaat kepada rakyat, terutamannya perkara berkaitan Ordinan-Ordinan Darurat Covid-19,” katanya.